Rakan Muda nafas baharu perkenal Rakan Demokrasi, Rakan Litar

Iklan
Hannah Yeoh (dua dari kanan) bersama Adam Adli dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kiri) mengiringi Anwar (dua dari kiri) ketika melancarkan Rakan Muda Nafas Baharu di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM pada Ahad. - Foto: Bernama

BANGI - Rakan Demokrasi dan Rakan Litar adalah dua daripada 10 gaya hidup yang diperkenal dalam usaha memperkukuh jenama Rakan Muda yang diberi nafas baharu serta dilancarkan pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pengenalan Rakan Demokrasi bersesuaian dengan keputusan kerajaan yang sebelum ini telah menurunkan hak mengundi kepada golongan belia berusia 18 tahun.

"Rakan Litar pula diperkenal selari dengan gaya hidup golongan muda ketika ini yang memperlihatkan keterlibatan dan populariti sukan permotoran itu semakin meningkat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Rakan Muda yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Ahad.

Hannah berkata, lapan lagi gaya hidup Rakan Muda ialah Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

Iklan

Beliau berkata, inisiatif Rakan Muda yang diberi nafas baharu itu diharap mampu menarik minat lebih ramai anak muda dan menyasarkan penyertaan lebih sejuta golongan berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun.

"Oleh itu, kita sarankan setiap kementerian yang ada apa-apa sahaja program dengan anak muda, melibatkan golongan belia, sila gunakan platform Rakan Muda ini, logo Rakan Muda... contohnya, Kementerian Kewangan buat program kewangan atau usahawan, kita boleh letak di bawah Rakan Niaga.

"Selain itu, di peringkat negeri, kita beri kebebasan untuk adakan program, terpulang pada hala tuju mereka namun kita di peringkat persekutuan, akan sentiasa pantau bagi memastikan ia di landasan tepat,” katanya.

Hannah juga berkata, semua aktiviti dan perancangan berkaitan Rakan Muda bagi tahun ini adalah berdasarkan peruntukan sedia ada selain usaha kementerian mengadakan kerjasama dengan rakan strategik seperti foodpanda, Grab, Lazada dan Shopee. - Bernama