Elak eksploitasi tenaga kerja pelatih industri

Iklan
Pemberian elaun yang berpatutan dapat membantu meningkatkan semangat pelatih industri untuk memberikan perkhidmatan terbaik. - Gambar Bernama

ISU elaun untuk mahasiswa yang menjalani latihan industri di syarikat swasta atau agensi kerajaan hangat diperkatakan. Malah, ia turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menggesa syarikat menawarkan latihan industri memberikan elaun munasabah kepada kumpulan berkenaan.

Anwar berkata, walaupun perkara itu bukan paksaan, namun majikan perlu mempertimbangkan bayaran munasabah.

Iklan
Iklan

Sekurang-kurangnya elaun yang diberikan dapat menampung perbelanjaan seharian dan kos perjalanan pelatih industri.

Isu elaun tersebut bukanlah perkara baharu. Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 7 Jun lalu pernah membangkitkan isu yang sama. Beliau mencadangkan agar kerajaan menggubal Akta Latihan Amali Berbayar.

Iklan

"Kita boleh buat dua perkara sama ada kita pinda akta pekerjaan ataupun kita adakan akta baharu yang mewajibkan perkara ini,” kata Syed Saddiq.

Tidak dapat dinafikan ada segelintir pelatih yang diterima menjalani latihan industri berdepan ‘pengalaman pahit’ mendakwa menjadi ‘buruh percuma’ kepada syarikat.

Iklan

Ada yang dikerah untuk bekerja lebih 12 jam. Sudahlah penat bekerja, tidak pula diberikan sebarang elaun sama ada upah atau komisen.

Penulis masih ingat ada rakan yang menjalani latihan industri sebagai seorang guru di sebuah sekolah. Meskipun dia hanya seorang pelatih industri, namun tugas yang diberikan sangat banyak sehingga menyamai atau melampaui kerja yang dilakukan oleh guru lain.

Antaranya termasuk merangka soalan peperiksaan pelajar dan menjadi jurulatih bagi acara ilmiah di sekolah serta terlibat dengan pelbagai lagi acara lain. Beban tugas yang diberikan kepadanya tidak diberikan sebarang imbuhan walaupun sedikit.

Bagaimanapun, penat lelahnya mungkin berbaloi kerana selepas tamat menjalani latihan, dia diserap sebagai guru tetap di sekolah tersebut.

Bagaimana pula dengan nasib pelatih industri yang lain terutama dalam kalangan mereka yang terpaksa menjalani latihan di bandar-bandar besar seperti kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru?

Bercerita soal kehidupan di kota, pasti tidak akan terlepas daripada memikirkan mengenai kos dan perbelanjaan yang semakin menekan.

Hakikatnya pada hari ini, bukan semua mahasiswa datang daripada keluarga berkemampuan untuk kos tambahan bagi menyewa rumah atau bilik, ditambah dengan kos perjalanan dan makan minum yang berbeza berbanding dengan kehidupan sebagai mahasiswa di kampus.

Bayangkan, ada terpaksa berkongsi sewa rumah atau bilik dengan kos yang bukan murah. Lebih membebankan jika jarak rumah sewa ke tempat kerja pula jauh bukan kepalang. Sekali lagi sudah tentu perlu ketepikan sejumlah wang untuk minyak dan tol atau jika naik pengangkutan awam, kena fikirkan tambang pergi dan balik.

Memang pening kepala memikirkan pelbagai kos yang harus ditanggung. Tak hairanlah mungkin ada yang ‘ikat perut’ terutama bagi mereka kurang berkemampuan.

Jadi, apa salahnya jika majikan dan syarikat mempertimbangkan pemberian elaun atau komisen buat pelatih industri. Walaupun tak banyak, ia pastinya dapat meringankan beban, sekurang-kurangnya duit poket untuk makan.

Pemberian elaun yang berpatutan juga dapat membantu meningkatkan semangat pelatih industri untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Namun, ada juga segelintir pihak yang mengecam pelatih industri usah mengharapkan elaun. Kata mereka, berpeluang menuntut ilmu dan pengalaman berkaitan bidang pekerjaan di organisasi adalah lebih utama.

Ya, ada benarnya tetapi biarlah seiring dengan keadaan semasa. Hari ni wang juga perlu diambil kira untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan ekonomi serba mencabar.

Namun, untuk menuding jari kepada pihak majikan juga adalah tidak adil. Pilihan di tangan majikan sama ada mahu menerima pelatih industri menjalani praktikal di syarikat mereka atau sebaliknya. Namun, mengambil kira kesan tekanan kos semasa, mungkin majikan boleh mempertimbangkan sedikit elaun.

Apa pun, isu elaun pelatih industri wajar diperhalusi dengan lebih teliti dan mendalam. Penyelesaiannya biarlah membawa kepada situasi ‘menang-menang’ antara dua pihak iaitu pelatih dan majikan.

Isu ini tidaklah rumit, yang penting jangan ada pihak cuba mengambil kesempatan ke atas pelatih industri ini yang bakal mengisi kepimpinan negara dan mengetuai syarikat-syarikat suatu hari kelak.

*Mohamad Amreel Iman Abd Malek ialah wartawan Sinar Harian