BELURAN - Tujuh sekeluarga berjaya diselamatkan selepas rumah didiami tenggelam dalam kejadian di perkampungan atas air di Kampung Kulapis Paris, pada petang Ahad.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, kesemua mereka diselamatkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Kulapis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran Edoen Macheal berkata, seramai 10 anggotanya dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer dari balai.
"Sebuah rumah jenis tidak kekal dilaporkan telah ditiup angin kencang dan menyebabkan rumah mereka tenggelam ketika air laut pasang.
"Terdapat tujuh sekeluarga berada di rumah tersebut dan mereka telah dikeluarkan oleh anggota PBS serta ditempatkan ke tempat selamat sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain berlaku di lokasi kejadian.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.29 petang," katanya.