PENDANG - Isu penyalahgunaan dadah wajar ditangani dengan bijak melalui pelbagai elemen agar masyarakat negara ini sentiasa berwaspada daripada kesan negatif najis tersebut.
Oleh itu Unit Pencegahan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pendang giat menganjurkan ceramah dan pameran tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan kesannya di sekolah-sekolah sekitar daerah tersebut.
"Penganjuran ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran bagaimana penyalahgunaan dadah boleh bermula sejak usia kanak-kanak hingga remaja. Kanak-kanak yang membesar dalam kalangan ahli keluarga khususnya ibu bapa yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah boleh mempengaruhi pemikiran mereka untuk terlibat dengan najis dadah.
"Mereka mempunyai pemikiran bahawa dadah bukanlah jenayah kerana telah dipengaruhi sejak usia yang masih mentah. Amat penting kesedaran penyalahgunaan najis dadah haruslah bermula dari rumah, selain peranan guru-guru dan rakan sebaya dalam meningkatkan kesedaran tersebut.
Menurut beliau, para pelajar diajar bagaimana mereka boleh bertindak dan mengatakan ‘TIDAK’ (Teknik Arsetif)” terhadap elemen-elemen yang menyebabkan mereka terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
Selain itu, modul ceramah dan pameran anjuran AADK Pendang juga menekankan aspek untuk para pelajar dapat mengenalpasti jenis dadah dan kesan negatif terhadap fizikal serta kesihatan manusia.
"Para penceramah menyediakan bahan ceramah dan pelbagai elemen soalan yang menarik serta mudah difahami oleh para pelajar. Sesi ceramah ini dapat membuka minda para pelajar tentang penyalahgunaan dadah. Seperti yang kita maklum, mencegah adalah lebih baik daripada merawat, maka sesi seumpama ini sangat relevan dan dapat dianjurkan secara konsisten serta meluas,” katanya.