Nasib dua beradik yatim piatu terbela

Iklan
Hisyam (tengah) bersama Mohamad Nizar menyerahkan baucar bayaran faedah-faedah Perkeso kepada wakil keluarga pencarum di Kampung Tanah Putih, Pekan pada Ahad.

KUANTAN - Nasib dua beradik yatim piatu terbela selepas layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Surirumah (SKSSR) arwah ibu mereka yang meninggal dunia April lalu.

Muhammad Alif Ridhwan, 14, dan adiknya, Muhammad Alif Nazmie, 8, menerima faedah pencen penakat sehingga mereka berumur 21 tahun.

Iklan
Iklan

Pengarah Perkeso Pahang, Hisyam Abdul Rahman berkata, sebagai anak sulung, Muhammad Alif Ridhwan turut menerima faedah pengurusan mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

Menurutnya, arwah ibu mereka, Rosnita Johan, 43, merupakan pencarum SKSSR melalui geran kerajaan di bawah program e-Kasih.

Iklan

"Arwah mempunyai sejarah penyakit kencing manis sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong pada 2021.

"Pada awal tahun ini, arwah diserang sawan dan terlantar sehingga meninggal dunia pada 22 Mei lalu.

Iklan

"Kematian arwah menyebabkan dua anaknya hilang tempat bergantung memandangkan suaminya telah meninggal dunia pada 2018," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hisyam sebelum itu mengunjungi waris pencarum di Kampung Tanah Putih, Pekan untuk menyerahkan baucar bayaran faedah-faedah Perkeso tersebut pada Ahad.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Najib.

Beliau berkata, maklumat kematian arwah telah disalurkan Bahagian Sinergi Ibu Pejabat pada awal Jun melalui semakan silang daftar kematian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan usaha mengesan waris segera dijalankan.

"Tindakan segera yang diambil telah membantu menerima faedah Perkeso itu dengan kadar segera," jelasnya.

Tambah beliau, SKSSR diperkenalkan pada tahun 2022 khusus kepada golongan wanita warganegara ini yang belum mencapai umur 55 tahun atau belum mencapai umur 54 tahun pada tarikh pertama kali mencarum di bawah skim itu.

"Skim ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.

"Untuk rekod, di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838), waris kepada Suri Rumah Berinsurans (SRB) yang meninggal dunia layak menerima faedah pengurusan mayat RM2,000 selain bayaran berkala Pencen Penakat maksimum RM300 sebulan mengikut kelayakan syer orang tanggungan," ujarnya.