KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Pelabur dan pembiaya berisiko berhadapan kerugian sekiranya tidak beralih ke Asia yang dilimpahi dengan sejumlah besar sumber semula jadi, potensi tenaga boleh diperbaharui serta populasi yang kian meningkat yang tidak menolak inovasi bersama selain semakin menghargai ekonomi hijau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, terdapat potensi lagi untuk rantau ini berkembang sebagai pemain dalam rantaian nilai sifar bersih sama seperti sumber biodiversiti yang kaya dan peratusan tinggi litupan hutan menawarkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang amat banyak.
Iklan
Iklan
"Selain membangunkan peluang hidrogen dan CCS (penangkapan dan penyimpanan karbon) untuk menyimpan karbon, dengan inovasi bateri dan penyimpanan elektrik berjalan dengan baik, terdapat peluang untuk memajukan mineral nadir bumi serta mewujudkan ekosistem kondusif bagi mengukuhkan rantaian bekalan,” katanya dalam ucaptama pada acara Energy Asia 2023 di sini pada Isnin.
Beliau menyatakan lebih daripada 75 peratus tenaga yang digunakan di Asia berasal daripada hidrokarbon dan menjelang 2030, permintaan tenaga Asia dijangka meningkat dua kali ganda.
Malah, negara-negara di rantau Asia turut menunjukkan tanda-tanda positif untuk menerima peralihan tenaga meskipun bergerak pada kadar yang berbeza.
Menurut Anwar, sementara sesetengah negara sedang bersedia untuk beralih kepada bentuk tenaga yang lebih bersih, yang lain masih bergelut dengan akses kepada bekalan elektrik yang lengkap, bahan api memasak yang bersih dan keterjaminan tenaga.
"Kemampuan masih menjadi kebimbangan utama, terutamanya bagi bahagian Asia yang sedang membangun yang mana orang ramai tidak melihat terlalu jauh ke masa depan tetapi mungkin hanya bergelut untuk membayar bil untuk minggu mendatang dan meneruskan kehidupan," tambahnya. - Bernama