PRN: UMNO, DAP paling terkesan jika ditolak pengundi

Iklan
Mohd Yusri

KUALA TERENGGANU - Dua parti politik iaitu UMNO dan DAP diramal akan menerima tamparan hebat sekiranya keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung di enam negeri kali ini tidak memihak kepada mereka.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, kajian lapangan mendapati kemungkinan perubahan koalisi politik pasca PRN yang memberi kesan terhadap hubungan kerjasama antara parti politik dalam gabungan yang membentuk kerajaan hari ini.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, kedua-dua parti itu berdepan dua kemungkinan sama ada terkesan atau akan menambahkan kekuatan parti berkenaan.

"PRN kali ini akan menjadi ujian yang sangat besar kepada BN khususnya UMNO untuk survival politik mereka di mana mereka akan kembali memikirkan hala tuju politik mereka.

Iklan

"Jika mereka mendapat sokongan yang baik (lebih baik berbanding PRU lepas) iaitu berlaku pemulihan dan mendapat sokongan tinggi, mungkin keberadaan bersama Kerajaan Perpaduan (Pakatan Harapan) berada pada trek yang betul iaitu diterima oleh pengundi tegar. Jadi mereka akan kekal.

"Tetapi, jika mereka menerima pukulan yang agak hebat, ditolak oleh pengundi tegar, Melayu Muslim sendiri barangkali UMNO akan kembali berdiskusi apakah strategi-strategi terbaik untuk survival politik mereka.

Iklan

Mohd Yusri yang juga Pensyarah Program Pengajian Polisi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT berkata, situasi sama juga diramal berlaku terhadap DAP kerana pertama kali membentuk kerjasama secara langsung bersama UMNO yang membawa pendekatan politik berbeza.

"Jika pengundi tegar memberi signal penolakan DAP disebabkan kerjasama dengan UMNO, BN, sudah tentu DAP juga akan kembali memikirkan survival mereka dalam landskap politik tanah air.

"Mereka juga mungkin akan membuat beberapa keputusan yang sedikit sebanyak akan merubah situasi, kondisi dan kestabilan politik di Malaysia,"," katanya secara menerusi Forum PRN Enam Negeri: Hipotesis- Hipotesis Awal anjuran fakulti Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT secara dalam talian, pada Ahad.

Mohd Yusri memberitahu, ramalan itu lebih kukuh berdasarkan tindakan DAP pada 2004 yang mereka pernah keluar daripada gabungan Barisan Alternatif.

Barisan Alternatif merupakan gabungan parti politik antara DAP, PKR, Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang ditubuhkan bagi menghadapi PRU 1999.

"Walaupun ia (Barisan Alternatif) hanyalah persefahaman biasa yang tiada lambang tiada apa tetapi kita pernah saksikan perkara itu," ujarnya.

Mohd Yusri berkata, walaupun PRN berlaku di enam negeri, namun ia dilihat amat signifikan dan relevan kerana mampu menstabilkan kerajaan di peringkat persekutuan atau sebaliknya.

"Keputusan PRN kali ini mempunyai kemungkinan-kemungkinan besar untuk merubah landskap politik tanah air secara keseluruhan kerana sebarang perubahan koalisi keluar masuk parti boleh mengubah kerajaan dan ia tidak bertentangan dengan Rang Undang-Undang (RUU) lompat parti,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan PRN di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi diyakini tidak akan menggugat Kerajaan Perpaduan.

Ujar beliau, walaupun terdapat gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan Pusat, namun keputusan PRN di enam negeri tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Beliau berkata ia disebabkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu stabil kerana memperoleh dua per tiga majoriti bersamaan 148 daripada 222 kerusi Parlimen.

-ENDS-