LONDON - Penyiasat yang menjalankan siasatan letupan kapal selam Titan"mengambil semua langkah berjaga-jaga" sekiranya mereka menemukan mayat di dasar laut.
Kapten Jason Neubauer yang mempengerusikan siasatan Pengawal Pantai AS mengenai letupan Titan membuat kenyataan itu ketika aspek mencari dan menyelamat bagi tindak balas tamat.
Operasi menyelamat diteruskan dan penyiasat telah memetakan tapak kemalangan itu, kata Neubauer pada sidang media di Boston, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau juga berkata, penubuhan Lembaga Penyiasatan Marin adalah siasatan peringkat tertinggi yang dikendalikan oleh Pengawal Pantai AS. Tidak jelas tempoh masa yang diperlukan.
Penyiasat bekerjasama rapat dengan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Marin UK serta Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada dan Lembaga Penyiasatan Korban Marin Perancis.
Neubauer memberitahu media:"Saya tidak membincangkan butiran operasi pemulihan tetapi kami mengambil semua langkah berjaga-jaga di lokasi jika kami menemui mana-mana mayat manusia.
Neubauer menambah siasatan boleh membawa kepada peraturan yang lebih ketat.
Jutawan Britain, Hamish Harding antara lima penumpang Titan maut dalam kejadian itu yang turut meragut nyawa Shahzada Dawood, anak lelakinya, Suleman dan ketua pegawai eksekutif serta pengasas OceanGate, Stockton Rush serta warga Perancis, Paul-Henry Nargeolet.
Sementara itu, Superintendan Kent Osmond dari Royal Canadian Mounted Police (RCMP) berkata satu pasukan penyiasat telah ditubuhkan untuk menentukan sama ada siasatan jenayah akan dilakukan.
Pegawai itu berkata temu bual diadakan dengan individu di atas kapal sokongan utama Titan,Polar Prince, pada Sabtu sebagai sebahagian daripada siasatan. - Bernama-dpa