KUALA LUMPUR - Kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap pematuhan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, pelaksanaan dan pelaporan amalan ESG oleh syarikat di Malaysia pada masa ini adalah bersifat sukarela dan digalakkan kepada semua syarikat awam tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia.
"Dalam kalangan PMKS pula, secara umumnya prestasi amalan ESG masih pada tahap yang rendah berikutan tahap pemahaman dan kepentingan ESG yang masih kurang," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail berhubung bilangan syarikat tempatan yang telah melaksanakan dan melaporkan inisiatif tadbir urus ESG sehingga kini.
Menurut Rafizi, Kementerian Ekonomi sebagai kementerian yang menjalankan pemantauan terhadap pelaksanaan ESG di Malaysia akan terus mempergiat usaha untuk menggalakkan penerimagunaan ESG dalam kalangan pemain industri.
Katanya, tumpuan kerajaan hari ini adalah membangunkan ekosistem yang kondusif dalam memastikan pematuhan dan pengenalan elemen ESG dalam kalangan PMKS dapat dipercepat serta tidak membebankan.
"Kita perlu mengalakkan dan menyediakan insentif yang sewajarnya supaya PMKS boleh melaksanakan (pematuhan ESG) secara sukarela.
"Ekosistem ini akan meliputi aspek berkaitan dasar dan garis panduan yang jelas, standard yang bersesuaian, elemen pembiayaan dan insentif yang mencukupi serta peningkatan kesedaran dan pemahaman," katanya. - Bernama