SABAK BERNAM - Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff disaran membuat kajian di universiti berhubung kenyataannya yang mendakwa pengundi di Selangor tidak tertarik mengundi Perikatan Nasional (PN).
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, Mohammad Agus perlu membuktikan kajiannya itu terlebih dahulu sebelum mendakwa Selangor mundur jika memilih PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Saya ingat dia (Mohammad Agus) kena balik buat kajian semula di universiti," katanya ringkas ketika diminta mengulas kenyataan Mohamad Agus mendakwa pengundi Selangor tidak tertarik mengundi PN kerana enggan kemunduran berlaku seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Mohammad Agus berkata, antara faktor lain adalah pengundi menolak ekstremisme dan politik ketaksuban serta tidak boleh lagi diracuni dengan sentimen Melayu-Islam.
Sementara itu, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, perbandingan antara Selangor dan tiga negeri terbabit tidak seharusnya dibuat.
Menurut beliau, Selangor telah mengecapi kemajuan sejak dahulu lagi sebelum pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
"Selangor ini negeri maju, cuma tinggal lagi bagaimana dasar baharu harus dibuat untuk menarik pelabur, meningkatkan lagi ekonomi dan membantu pesawah, petani serta nelayan," ujar beliau.
Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata, pandangan itu bersifat 'cetek' dan tidak adil kepada rakyat di negeri ini.
Menurut beliau, Pas telah terbukti berkebolehan dan mempunyai kemampuan di Selangor berdasarkan rekod semasa pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008.
Katanya, ternyata apa yang ada di Selangor pada masa ini hasil sumbangan pemimpin Pas yang berada selama dua penggal bersama kerajaan PR.
"Tidak adil untuk membandingkan Selangor dan negeri lain kerana kita tahu negeri ini memperoleh hasil antara tertinggi berjumlah RM2 bilion setahun jika hendak dibandingkan dengan tiga negeri tersebut.
"Saya rasa usaha sedang dibuat di Kelantan dan Terengganu, (tetapi) menemui jalan buntu apabila kerajaan Persekutuan tidak melayan permintaan daripada kerajaan negeri.
"Semasa pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM (Perdana Menteri) ada usaha ke arah itu, tetapi tempoh (pemerintahan) tidak lama," jelas beliau.
ARTIKEL BERKAITAN: