[VIDEO] "Pasrah pemergian arwah, dia gugur sebagai wira" - Bapa

Iklan
Masdi menunjukkan gambar Allahyarham Mohd Iqmal

SEREMBAN - Bapa kepada Allahyarham Laskar Udara I, Mohd Iqmal Masdi yang terkorban ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini pada Ahad pasrah dengan kejadian berlaku.

Masdi Md Isa, 57, berkata, meskipun anaknya terkorban ketika sedang mengikuti sesi latihan, namun dia tetap berbangga dengan Allahyarham dan menganggapnya sebagai wira negara.

Iklan
Iklan

Malah dia turut berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atas kejadian itu.

"Ia bukannya salah pihak Tentera Udara Diraja (TUDM). Saya tidak mahu insiden yang berlaku dijadikan isu. Itu dah takdir anak saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rawa Ulu di Lenggeng pada Isnin.

Iklan

Dia berkata, Allahyarham sudah berkhidmat sebagai anggota tentera selama dua tahun dan sangat seronok dengan kerjayanya.

"Dia bukannya pergi latihan itu untuk suka-suka atau jalan-jalan, tapi dia pergi berjuang.

Iklan

"Dia diamanahkan oleh pasukannya untuk buat benda (latihan) itu dan bila dia turut serta latihan itu ia terbaik bagi saya," ujarnya.

Sementara itu, Masdi berkata, kali terakhir dia berjumpa dan sempat memeluk Allahyarham minggu lalu ketika dia mahu pulang ke kemnya di Sendayan.

Tambahnya, waktu itu Allahyarham sudah maklumkan yang dia tidak pulang ke rumah minggu ini kerana ada sesi latihan.

Gambar Mohd Iqmal (berbaju kuning) bersama adik beradiknya

"Dia tak maklum pula latihan apa. Saya ingat mungkin untuk kenaikan pangkat kerana biasanya tiap-tiap minggu akan pulang ke rumah.

"Sebenarnya tiga hari lalu dia ada menghantar video wajahnya yang tersenyum, tapi kelihatan air mukanya agak sayu. Tapi saya tidaklah fikir yang bukan-bukan," katanya.

Dalam pada itu, Masdi berkata, sebelum berkhidmat sebagai tentera, Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik pernah memohon untuk menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia.

Bagaimanapun katanya, rezekinya untuk menyertai pasukan itu kurang cerah menyebabkan dia mencuba nasib sebagai tentera.

"Arwah tak pernah beritahu cita-citanya apa. Tapi yang saya tengok, dia cenderung untuk berkhidmat kepada negara.

"Saya meminta rakyat Malaysia mendoakan anak saya dan terima kasih juga kepada pihak TUDM yang telah menguruskan segala-galanya dengan baik," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Mohd Iqmal yang merupakan penuntut bagi Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 maut selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas manakala dua jurulatih parah.

Bagaimanapun Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin, 33, yang merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan meninggal dunia jam 5.45 petang ketika sedang menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor.

Seorang lagi jurulatih yang dilaporkan mengalami kecederaan parah dalam kejadian terbabit iaitu Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, kini masih menerima rawatan di hospital sama dan dalam pemantauan rapi serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

ARTIKEL BERKAITAN:

Seorang lagi anggota maut, TUDM akan tubuhkan Lembaga Siasatan

Mohamad Hasan ucap takziah keluarga mangsa letupan bom lempar

Anggota TUDM maut, 2 jurulatih cedera sesi latihan di Gemas