MELAKA - Meskipun terpaksa belajar di sebalik tirai besi dan terpisah dengan dunia luar, namun dua pesalah juvana membuktikan mereka mampu mendapat keputusan cemerlang dengan belajar bersungguh-sungguh.
Pesalah juvana Sekolah Henry Gurney (SHG), Amirul, 20, berkata, walaupun terpaksa mengulangi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, namun dia tidak berasa rugi selepas berjaya memperoleh 7A,1C dan 1D dalam peperiksaan tersebut.
Menurutnya, tiada hadiah yang lebih bermakna buat ibunya yang hanya bekerja sebagai operator kilang yang sehingga sekarang tidak pernah putus memberi sokongan buatnya berubah selepas dimasukkan ke sekolah itu pada Julai 2020.
Katanya, selama tempoh 'dipenjara' dia pernah berputus asa apabila diberitahu bapanya meninggal dunia ketika pandemik Covid-19 pada 2021, sehinggakan tiada istilah mahu berubah dalam hidup.
"Alhamdulillah, syukur apabila guru beritahu saya mendapat keputusan lebih baik daripada sebelum ini dan lebih cemerlang," katanya yang mahu mendalami ilmu agama.
Jelasnya, dia dihantar ke sekolah itu selepas didapati bersalah atas kesalahan membabitkan oral seks yang berpunca akibat terpengaruh dengan video lucah.
Tambahnya, walaupun tidak dapat belajar dengan kemudahan seperti jalur lebar sebagaimana calon SPM lain, namun dia bersyukur guru-guru banyak membantu menyediakan soalan-soalan skor untuknya, selain sentiasa membuat latihan dan mengulang kaji pelajaran.
"Semua itu bukan alasan untuk saya tidak rajin belajar, sekurang-kurangnya keputusan ini dapat menebus kesalahan yang saya lakukan terutama sekali setelah melukakan hati mak," katanya yang bakal dibebaskan bulan depan.
Sementara itu, bagi Dayat, 20, yang berasal dari Pasir Gudang Johor pula, dia turut mengambil semula peperiksaan itu kerana mendapat keputusan yang teruk pada SPM2020 sehingga tiada subjek yang mendapat A.
Menurutnya, kesabaran yang ditempuhi selama tiga tahun di sekolah itu banyak mengajarnya untuk lebih menjadi manusia dan menghargai ibu bapa hingga membuatkan dia tekad mencapai kejayaan.
Katanya, walaupun dibayangi peristiwa hitam ditangkap polis atas kesalahan urin positif akibat terpengaruh rakan sebaya, namun doa ibu bapa membuatkan dia lebih bersemangat untuk menempuh hari mendatang menjadi insan berguna.
Dia yang sekarang ini bekerja sambilan sebagai pencuci kereta berkata, kejayaan ini memberi semangat untuknya menyambung pelajaran di universiti tidak lama lagi sekali gus mencapai cita-cita sebagai pegawai bank.
"Sekarang saya bekerja untuk mencari wang bagi menampung yuran pengajian kerana tak mahu berterusan menyusahkan ibu bapa yang pernah sedih dengan kesilapan saya dulu," katanya.
Pada majlis itu turut disampaikan lima anugerah pelajar terbaik SPM 2022 kategori SHG termasuk empat pelajar SHG Telok Mas dan seorang pelajar SHG Keningau, Sabah.