TULAR di media sosial pasukan kebangsaan akan menguji kekuatan Mesir yang diterajui penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah dalam aksi persahabatan antarabangsa September depan.
'Cakap-cakap' itu muncul selepas skuad Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan-gon meluahkan hasrat untuk menentang lawan yang lebih kuat.
Ia selepas Malaysia menundukkan Kepulauan Solomon 4-1 dan membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam perlawanan persahabatan di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Malah dilaporkan wujud perbincangan pihak berkaitan untuk menjadikan aksi tersebut realiti sebagai persediaan buat skuad negara mengharungi Piala Asia di Qatar Januari 2024.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman memberitahu, buat masa ini belum ada sebarang keputusan berhubung perlawanan tersebut.
"Setakat ini, boleh saya katakan kita hanya sah akan bertemu China pada kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) September ini.
"Pada masa sama, FAM juga ada berbincang dengan beberapa negara lain yang berada di kedudukan lebih baik daripada Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan,” katanya.
Sebagai rekod Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga mengesahkan skuad Harimau Malaya mungkin akan menentang pasukan seperti Taiwan, China dan Kuwait pada September depan.