Maritim tingkat rondaan perairan musim perayaan

Iklan
Maritim Malaysia sentiasa mempertingkatkan rondaan dan pemantauan sepanjang musim perayaan ini.

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan meningkatkan rondaan dan pemantauan sempadan perairan negara bagi mencegah sebarang kemungkinan jenayah rentas sempadan pada musim perayaan Aidiladha ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, antara yang diberi fokus adalah pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan pendatang asing tanpa izin(PATI) dan pelbagai jenayah lain.

Iklan
Iklan

"Selain itu, penugasan keanggotaan melibatkan 4,331 pegawai dan anggota yang menzahirkan erti pengorbanan apabila sanggup berjauhan dengan keluarga masing-masing demi menjaga keselamatan perairan negara sempena Aidiladha ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Antara yang diberi fokus adalah pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan PATI dan pelbagai jenayah lain.

Menurutnya, pelbagai elemen turut diberikan tumpuan bagi membendung aktiviti jenayah seperti penyeludupan barangan kontraband dan manusia serta rompakan di laut.

Iklan

"Sebanyak 43 bot nelayan asing ditahan selain menumpaskan 50 aktiviti penyeludupan serta pelbagai tangkapan lain dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai hampir RM67 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini," katanya.

Beliau berkata, rondaan dan pemantauan di perairan sempadan negara sentiasa dipertingkat biarpun dalam musim perayaan.

Iklan

"Maritim Malaysia sentiasa serius dalam menjaga keselamatan maritim negara walaupun ketika rakyat sedang meraikan sambutan perayaan.

"Orang ramai diminta untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan agar kegiatan yang melanggar undang-undang di laut dapat dibendung sekali gus perairan Malaysia terus aman dan selamat," katanya.