KUALA LUMPUR - Kira-kira 4,900 penyewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu kota yang mempunyai tunggakan sewa bulanan melebihi RM1,000 dikenal pasti untuk diserapkan dalam ‘Skim Khidmat Menjelaskan Tunggakan Sewa’.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan skim berkenaan bagi mengatasi masalah penghuni yang mempunyai tunggakan sewa di kawasan PA dan PPR.
"Menerusi skim ini, DBKL akan melantik penghuni yang tidak mampu membayar sewa di kawasan perumahan mereka sebagai pekerja kebersihan dengan hasil pendapatan akan disalur terus kepada DBKL bagi membayar tunggakan sewa melalui pemotongan gaji yang diperoleh.
"DBKL telah bekerjasama dengan pihak kontraktor kebersihan di PA dan PPR serta penyewa sekitar ibu kota berhubung perkara ini. Skim ini disambut baik dan kesemua penyewa bersetuju dengan pendekatan ini,” katanya ketika merasmikan Program Perumahan Ku Bersih 2019 di PPR Seri Kota, Bandar Tun Razak, hari ini.
Khalid berkata, skim itu dilihat mampu menangani masalah tunggakan sewa sekali gus mengelak penyewa dikenakan tindakan penguatkuasaan sekiranya gagal membayar tunggakan itu.
Sementara itu, Khalid berkata Program Perumahan Ku Bersih 2019 adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan pihak swasta, syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan ke arah mewujudkan persekitaran bersih di seluruh PA dan PPR serta memupuk amalan menjaga kebersihan dalam kalangan penduduk."Tanggungjawab menjaga kebersihan selalunya dianggap tugas pihak berkuasa. Pandangan ini salah. Sebaliknya setiap individu hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan sekitar mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan bercadang memperuntukkan hasil jualan tanah berjumlah RM164 juta di Kuala Lumpur yang dijual dengan harga rendah pada satu masa dahulu untuk digunakan bagi tujuan penambahbaikan dan keceriaan di kawasan PA dan PPR.
"Beberapa penambahbaikan seperti mengecat bangunan, kemudahan fasiliti serta memasang kamera litar tertutup ( CCTV) akan dilaksanakan.
"Bagaimanapun, saya memerlukan kerjasama penduduk perumahan untuk sama-sama menjaga kebersihan serta menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaiknya,” katanya. - Bernama