MOSCOW - Kremlin pada Isnin berusaha menunjukkan kepada komuniti antarabangsa bahawa situasi yang agak tegang pada minggu lalu sudah kembali normal walaupun banyak pihak mula mempersoalkan tentang 'kelemahan' Rusia yang sentiasa mahu nampak gah di mata dunia.
Menerusi rakaman stesen TV tempatan, Rusia Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu dipaparkan sedang melakukan pemeriksaan ke atas pasukan tentera selepas Moscow berdepan pemberontakan pasukan askar upahan Wagner.
Shoigu membuat kemunculan pertama di khalayak umum setelah beliau dikritik hebat ketua Wagner, Yevgeny Prigozhin yang dengan lantang memburukkan kepimpinan tentera Moscow.
Menerusi rakaman itu, Shoigu turut diberi taklimat tentang situasi tentera, mengkaji peta dan dibawa menaiki helikopter untuk melihat sendiri kedudukan tentera Rusia.
Pada Ahad, pasukan Wagner dilaporkan kembali semula ke markas mereka setelah Presiden Rusia, Vladimir Putin bersetuju agar tuduhan melakukan khianat ke atas Prigozhin ditarik balik dan beliau dibenarkan hidup dalam buangan di Belarus yang menempatkan senjata nuklear taktikal milik Moscow.
Perjanjian itu akhirnya menamatkan krisis luar biasa tersebut selepas askar persendirian yang dipimpin bekas sekutu rapat Putin cuba menggempur Moscow di bawah cubaan untuk menggulingkan kepimpinan tentera.
Sebelum ini, Prigozhin telah berulang kali menyalahkan Shoigu dan Ketua Turus Am, Valery Gerasimov atas kematian anggotanya yang menyertai operasi ketenteraan di Ukraine.
Beliau kali terakhir dilihat menaiki sebuah SUV meninggalkan Rostov-on-Don pada lewat Sabtu selepas pasukannya merampas ibu pejabat tentera.
Beberapa media tempatan melaporkan Prigozhin bagaimanapun masih dalam siasatan kerana cuba melancarkan pemberontakan bersenjata.
"Kes jenayah ke atasnya belum digugurkan," ujar tiga agensi berita Rusia memetik sumber pejabat pendakwa raya.
Dalam perkembangan berkaitan, pegawai di wilayah Voronezh, Maksim Yantsov memaklumkan krisis yang berlaku antara Wagner dan Kremlin telah menyebabkan kemusnahan harta benda termasuk rumah penduduk.
Di bandar Rostov-on-Don yang diambil alih Wagner, kira-kira 10,000 meter persegi jalan raya dilaporkan musnah kerana menjadi laluan kereta kebal milik pasukan militia tersebut.
Sementara itu, Ukraine yang sedang melancarkan operasi serangan balas juga dilihat cuba mengambil kesempatan terhadap krisis tersebut.
Presiden Volodymyr Zelenskyy dan Menteri Pertahanan, Oleksii Reznikov dilaporkan membuat panggilan telefon kepada beberapa sekutu Kiev bagi membincangkan 'kelemahan' Putin dan fasa seterusnya untuk kempen ketenteraan mereka.
Ketika kebanyakan seteru Kremlin mempertikaikan kepimpinan mereka, China yang merupakan sekutu rapat Rusia tetap menzahirkan sokongan kerana berpendapat langkah itu bertujuan untuk melindungi kestabilan dan mencapai pembangunan serta kemakmuran negara.
"Isu itu berkaitan 'hal ehwal dalaman' mereka," ujar Kementerian Luar Beijing dalam satu kenyataan. - AFP