JDT bergaya ke final Piala FA 2023

Iklan
Arif Aiman (kiri) dan Fernando Forestieri meledakkan jaringan buat JDT pada aksi separuh akhir Piala FA 2023 pada Isnin. - Foto FB Johor Southern Tigers

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan slot ke pentas final Piala FA 2023 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Selangor FC, 4-0, pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Tampil tanpa kelibat penggempur utama, Bergson Da Silva, jentera serangan skuad Harimau Selatan itu dilihat sukar untuk menembusi benteng skuad Red Giant terutamanya pada awal perlawanan.

Iklan
Iklan

Malah, jentera serangan skuad Merah Kuning itu pula yang dilihat memberikan tekanan dengan asakan-asakan berbahaya ke gawang tuan rumah.

Sepanjang 15 minit pertama perlawanan sekurang-kurangnya dua peluang terbaik dimiliki skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu untuk membuka jaringan, namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Iklan

Bagaimanapun, hasil satu serangan balas, JDT akhirnya membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Arif Aiman Mohd Hanapi yang tenang menewaskan penjaga gol Selangor FC bagi menggamatkan seketika Stadium Sultan Ibrahim.

Tersentak dengan gol itu, Selangor FC dilihat cuba bangkit dengan mengatur asakan ke gawang JDT bagi mencari gol penyamaan.

Iklan

Bagaimanapun Arif Aiman sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring apabila merembat deras menewaskan Khairulazhan buat kali kedua pada minit ke-33.

Lima minit berselang, Arif Aiman sekali lagi membuktikan kehebatannya di depan gawang lawan apabila melengkapkan hatriknya dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-38 sekali gus memastikan tuan rumah terus selesa memimpin perlawanan menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua menyaksikan JDT semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan.

Asakan-asakan berkenaan akhirnya berhasil apabila penyerang import, Fernando Forestieri meledak gol keempat skuad Harimau Selatan itu pada minit ke-47.

Ketinggalan 0-4, bagaimanapun menyaksikan Selangor FC masih bersemangat mengasak ke gawang tuan rumah untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang gol.

Bagaimanapun, penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi mempamerkan ketangkasannya untuk menafikan percubaan-percubaan bahaya terutamanya daripada penyerang Selangor FC, Faisal Halim.

Penghujung perlawanan menyaksikan tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan dan menyaksikan JDT mengesahkan kemarahan ke final.

Kemenangan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Selatan itu bakal berdepan Kuala Lumpur City FC yang menewaskan Terengganu FC menerusi penentuan sepakan penalti dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Ahad.