GELARAN kedai berhantu dan bela saka cukup sinonim dengan kedai serbaneka yang satu ini.
Tak perlulah Merak Jalanan sebut namanya kerana ia memang terkenal satu Malaysia, lebih-lebih lagi dalam kalangan emak-emak.
Jika dahulu boleh dikatakan kedai serbaneka ini rata-ratanya dipenuhi oleh golongan B40 kerana ia menawarkan pelbagai barangan pada harga tetap RM2.40.
Sekarang tidak lagi, sesiapa sahaja tanpa mengira status dan latar belakang boleh mengunjunginya dengan syarat ‘wajib jumpa pintu keluar’.
Segala-galanya berpunca daripada inflasi dan ekonomi yang agak sukar menyebabkan pengguna mula mencari alternatif untuk berbelanja secara bijak dan berhemah.
Selain itu, faktor penarik bagi kedai serbaneka RM2.40 ini adalah kemampuannya untuk memahami kehendak pelanggan.
Ia menyediakan kepelbagaian, kelainan serta keunikan barangan seperti penjagaan muka dan badan, makanan ringan, minuman, aksesori hiasan, alat tulis, mainan, peralatan dapur, barangan plastik dan banyak lagi.
Maka tidak hairanlah ia menjadi ‘syurga beli-belah’ dikala dompet semakin menipis.
Pun begitu, Merak Jalanan berharap kedai serbaneka ini dapat mengekalkan harga RM2.40 untuk satu jangka masa yang lama.
Kenaikan harga sudah pasti menimbulkan rungutan kepada pengguna terutama golongan wanita.
Apa pun, segala-galanya terpulang kepada syarikat yang mengendalikan kedai serbaneka ini sama ada mahu menaikkan harga disebabkan faktor peningkatan kos yang perlu ditanggung atau mengekalkan harga sedia ada.
Yang penting, reputasi kedai serbaneka ini yang dianggap ‘penyelamat rakyat marhaen’ bagi mendapatkan harga murah sudah tidak boleh disangkal lagi.