BIARPUN dilabel ‘hero’ apabila meledak hatrik bagi membantu kemaraan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pentas final Piala FA 2023, namun penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi menegaskan masih banyak lagi ilmu bola sepak yang perlu dipelajarinya.
Menurut pemain berusia 21 tahun itu, di sebalik aksi yang kurang memberangsangkan dalam beberapa aksi Liga Super setakat ini, dia tetap bertekad untuk muncul selaku antara pemain berjaya suatu hari nanti.
Malah tanpa berselindung, pemain sayap lincah itu mengakui dia sedang melalui proses pembelajaran bersama skuad Harimau Selatan bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
"Ya, diakui dalam beberapa perlawanan Liga Super sebelum ini saya kurang menyerlah, namun itu bukan masalah.
"Dalam bola sepak ia satu proses yang mengambil masa untuk mendapatkan semula rentak (tempo) permainan.
"Yang penting, saya perlu sentiasa berusaha dalam setiap latihan dan perlawanan kerana semua tahu untuk bermain dalam kesebelasan utama pasukan JDT memang ‘susah’ apatah lagi dengan dengan kehadiran pemain senior dan berpengalaman," katanya ketika ditemui selepas aksi separuh akhir Piala FA 2023 berdepan Selangor FC, pada Isnin.
Pada masa sama Arif Aiman mengakui kehadiran pemain senior dan berpengalaman banyak membantunya selaku pemain Harimau Selatan meningkatkan kualiti permainannya selama ini.
Pada aksi separuh akhir berkenaan, Arif Aiman meledak hatrik pada minit ke-20, 33 dan 38 bagi membantu skuad Harimau Selatan yang juga penyandang juara, mengesahkan slot ke pentas final apabila menewaskan skuad Red Giant, 4-0.
Satu gol lagi dijaringkan penyerang import berbisa JDT, Fernando Forestieri bagi melengkapkan kemenangan penuh bergaya di hadapan lebih 30,000 penonton di Stadium Sultan Ibrahim.
Untuk rekod, ia merupakan kekalahan kedua Selangor FC kepada skuad Harimau Selatan setelah tewas dengan jaringan sama pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 17 Mac lalu.
Mengulas mengenai penampilannya yang diibaratkan sebagai ‘dos penggalak’ kepada pemain-pemain muda yang menjadikannya sebagai ‘idola’ Arif Aiman berkata, perkara berkenaan tidak menjadi satu tekanan buat dirinya.
"Saya tidak boleh menghalang penyokong terutama kanak-kanak untuk ‘mengidolakan’ saya.
"Namun harap mereka (penyokong) tidak mengharapkan lebih daripada saya kerana masih banyak lagi perkara perlu dipelajari.
"Umur saya baru 21, banyak lagi perlawanan yang perlu dilalui, tidak boleh membanggakan diri sebaliknya terus belajar ilmu bola sepak," katanya.
Aspek 'transition' tunjang kekuatan JDT
Dalam perkembangan sama, aspek transisi mantap yang dimiliki penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) disifatkan sebagai punca bekas juara lima kali, Selangor FC tewas 0-4 pada aksi separuh akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, pada Isnin.
Pengendali skuad Red Giant, Tan Cheng Hoe turut memberikan bayangan bahawa Harimau Selatan kendalian Esteban Solari itu berada pada prestasi terbaik mempertahankan kejuaraan tersebut musim ini.
"JDT cukup kuat dari segi 'transition' bertahan ke menyerang.. itu menyebabkan pasukan Selangor sukar mengawal mereka...dan sedikit kesilapan pertahanan menyebabkan pasukan Selangor dibolosi gol yang terlalu awal.
"Ini menyebabkan moral pemain Selangor 'down' terutama daripada aspek keyakinan... ia agak ketara apabila dibolosi tiga gol lagi selepas itu. Kita terpaksa melakukan dua pertukaran awal pada separuh masa pertama," katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.
Sementara iut, Cheng Hoe tetap memuji komitmen kesebelasan skuad Gergasi Merah dalam perlawanan berintensiti tinggi tersebut.
Malah, Cheng Hoe turut menyifatkan skuad kendaliannya itu telah beraksi dengan cukup baik, namun tewas gara-gara sedikit kesilapan dilakukan.
"Sebagai jurulatih, kekalahan 0-4 ini sungguh mengecewakan saya, namun sekiranya dilihat dari segi keseluruhannya pasukan Selangor bermain begitu baik.
"Cuma terdapat sedikit kesilapan yang menyaksikan kita perlu bekerja keras untuk memastikan pasukan Selangor mampu bersaing dengan JDT selepas ini," katanya