KUALA LUMPUR - Penyanyi popular, Khai Bahar dilantik sebagai Ikon Kemanusiaan Bagi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Al Azhar Care.
Pelantikan penyanyi lagu Luluh itu adalah kerana penglibatannya yang aktif dalam menyumbangkan tenaga terhadap aktiviti kesukarelawanan.
Menurut Presiden Al Azhar Care, Alif Mahari, lantikan itu cukup signifikan dalam misi kesukarelawanan NGO itu untuk menyalurkan bantuan menerusi program korban, akikah, wakaf Quran dan wakaf telaga di benua Afrika pada tahun ini.
"Semoga dengan asbab Khai Bahar menjadi ikon ini dapat menarik lebih ramai lagi orang di luar sana untuk sama-sama menyertai program serta aktiviti yang dianjurkan,” katanya.
Selain itu, Khai Bahar berkata, ini bukan kali pertama beliau turut serta dalam aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan bersama mana-mana organisasi dan tidak menetapkan tempoh kerjasama antara kedua-dua pihak.
Sebaliknya, beliau rela hati untuk turut serta dalam aktiviti kebajikan yang dapat memberi manfaat kepada individu lain.
"Ini bukan pertama kali saya bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan, malah tidak megikat sebarang kontrak, tapi dengan rela hati saya menjadi sukarelawan dan tidak menetapkan tempoh tahun supaya kebaikan yang saya lakukan ini saya dapat kongsikan pada semua orang,” ujarnya sewaktu majlis meraikan delegasi sukarelawan Al Azhar Care yang akan berlepas ke Afrika pada 26 Jun 2023.
Al Azhar Care, sebuah pertubuhan NGO yang menjalankan aktiviti kebajikan, kemanusiaan, dan pendidikan di dalam dan luar negara, telah menjalankan usaha kebajikan sejak ditubuhkan pada 2019. - Awani