Usahawan songket rugi lebih RM1 juta premis perniagaan terbakar

Iklan
Premis berusia lebih 50 tahun di Kampung Paloh di Kuala Terengganu terbakar mengakibatkan kerugian lebih RM1juta. - Foto Ihsan Bomba

KUALA TERENGGANU - Sebuah bangunan dua tingkat milik seorang usahawan songket terkenal hangus terbakar melibatkan kerugian lebih RM1 juta dalam kejadian kebakaran pada malam Isnin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam di Kampung Paloh di sini menyebabkan keseluruhan premis berusia lebih 50 tahun itu musnah dijilat api.

Iklan
Iklan

Pemiliknya, Burhan Ashari, 68, berkata, ketika kejadian dia bersama enam pekerjanya yang tinggal di situ keluar makan malam sebelum diberitahu premis terbabit terbakar.

"Saya bergegas balik ketika tahu bangunan terbakar, malangnya ketika sampai keadaan api sudah marak dan ketika itu sudah tiada apa yang boleh diselamatkan.

Iklan

"Seluruh ruang galeri di dalam bangunan serta ruang pejabat terbakar. Baju-baju Melayu dan barangan di dalam bangunan ini semuanya musnah terbakar," katanya.

Menurut Burhan, beliau bersyukur kerana pihak bomba tiba untuk memadam api yang sedang marak kerana dikhuatiri merebak ke lokasi lain.

Pihak bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal api di lokasi kejadian. - Foto Ihsan Bomba

Iklan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.42 malam.

Katanya, seramai 36 anggota dari BBP Kuala Terengganu, BBP Jalan Kota dan BBP Kuala Nerus dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba kita dapati api telah merebak dengan pantas dan telah memusnahkan premis itu. Pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran.

"Usaha memadam kebakaran ini berdepan kesukaran kerana tekanan air yang rendah daripada pili bomba, namun ia berjaya diatasi dengan bantuan jentera dari balai-balai lain," ujarnya.

Menurut Rozizah, punca dan jumlah sebenar kerugian dalam kebakaran itu masih dalam siasatan.