BEKAS Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim memfailkan representasi dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) Negeri Perak berhubung penamatan kontrak secara salah dan tuntutan baki 16 bulan gajinya.
Teong Kim bersama peguamnya, Adam Yap Boon Han memfailkan tuntutan itu selepas dipecat pada Mei lalu setelah lapan bulan berkhidmat dengan pasukan berkenaan.
Menurut Adam Yap, anak guamnya itu telah menandatangani kontrak selama dua tahun sehingga September 2024 bagi mengendalikan pasukan Liga Super itu.
"Penamatan kontrak berkuat kuasa pada 24 Mei lalu. Hanya berlangsung lapan bulan beliau telah ditamatkan jadi kami berpendapat itu penamatan kontrak pra matang dan terjumlah kepada satu pembuangan kerja yang tidak sah dan tidak adil.
"Beliau mempunyai hak dari sudut perundangan dan jabatan ini bertindak sebagai badan pendamai. Sekiranya kedua-dua pihak tidak mencapai kata putus, perkara ini akan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan dan satu perbicaraan akan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas memfailkan representasi dengan JPPM di Bangunan Persekutuan di sini pada Selasa.
Tambah Adam Yap, representasi dikemukakan mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
"Tujuan kami bukanlah bersifat peribadi, namun beliau hanya datang untuk menuntut haknya mengikut kontrak.
"Pintu hati kami masih terbuka untuk Perak FC, bila-bila masa sebelum dirujuk ke mahkamah, kami memberi ruangan untuk apa-apa rundingan," katanya.
Sementara itu, Teong Kim berkata, tuntutan berkenaan bukanlah suatu tindakan untuk menyalahkan mana-mana pihak.
"Saya menganggap ini sebagai perkara biasa dalam kancah bola sepak.
"Saya masuk ke Perak FC secara baik dan biarlah saya keluar secara baik kerana ia baik kepada semua pihak. Ini tuntut hak saya tidak lebih tidak kurang," katanya.
Kehadiran Teong Kim pada September 2022 ke kem Perak FC jelas mencuri tumpuan dengan harapan beliau dapat mengubah nasib pasukan Perak yang sebelum ini terumbang-ambing selama dua musim berikutan masalah tunggakan gaji.
Pemecatan Teong Kim menjadikan beliau jurulatih ketiga yang digugurkan dalam pasukan Liga Super musim ini selepas Choi Moon Sik (Kelantan) dan Tomas Trucha (Kelantan United).
Sepanjang membimbing pasukan dalam Liga Super, Perak FC hanya memperoleh dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan dalam 12 perlawanan sekaligus menyaksikan Perak FC kini berada di tangga ke-11 liga.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, antara faktor utama khidmat Teong Kim ditamatkan adalah berikutan prestasi buruk pasukan dalam 12 perlawanan Liga Super dan perlu menjaga imej Perak FC agar tidak terjejas.