ADUNAN muka baharu berbakat dan pemain berpengalaman menjadi taruhan skuad bola sepak wanita negara bawah-19 (B-19) tahun pada Kejuaraan Wanita B-19 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2023 di Palembang, Indonesia bulan depan.
Melihat kepada kesungguhan dan prestasi yang ditampilkan anak buahnya sepanjang seminggu kem latihan, ketua jurulatih Cameron Ng mengakui berhadapan kesukaran dalam memuktamadkan senarai akhir 23 pemain.
Beliau sebelum ini memanggil 25 pemain muda wanita negara terdiri daripada campuran mereka yang beraksi pada kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Kemboja Mac lepas serta Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 di Buriram, Thailand pada April.
"Saya rasa pasukan ini ada adunan yang bagus, pasukan muka baharu dan yang ada sedikit pengalaman, jadi saya rasa kita ada masa depan cerah untuk skuad wanita muda negara.
"Jujurnya, saya sukar untuk membuat pilihan, siapa saya nak pilih untuk ke Palembang sebab mereka memang beri seratus peratus dan sentiasa bekerja keras,” katanya ketika ditemui pemberita semasa latihan skuad Malayan Tigress di Kompleks Sukan PKNS di Petaling Jaya pada Isnin.
Skuad wanita muda negara mula menjalani kem latihan sejak 17 Jun lepas, menjelang Kejuaraan Wanita B-19 AFF yang akan berlangsung dari 5 hingga 15 Julai ini.
Pasukan negara diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan gergasi Vietnam dan Singapura.
Dalam pada itu, ketua pasukan Malayan Tigress B-19, Nur Amirah Rahman optimis pemain negara mampu membenam Singapura dalam aksi pembukaan pada 8 Julai, sebelum berdepan Vietnam 10 Julai.
"Sasaran kita untuk menang satu dan sekurang-kurangnya seri satu perlawanan. Insya-ALLAH saya yakin kita boleh menang menentang Singapura. Walaupun ada muka baharu, saya lihat komunikasi dan persefahaman antara kita bagus,” katanya. - Bernama