'Kalau YB tak pasti tanya saya'

Iklan
Mohd Azlan (dua dari kiri) ketika melancarkan Jualan Rahmah Kasih Sayang anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Arena Rakyat Tualang Sekah, di sini pada Selasa.

KAMPAR - Wakil rakyat perlu menunjukkan contoh yang baik dengan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya bagi mengelak kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, amat tidak wajar jika seseorang wakil rakyat mahupun pemimpin masyarakat menyebarkan berita tidak benar melalui media sosial.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seseorang pemimpin menjadi rujukan kepada masyarakat dan rakyat percaya apa yang disampaikan adalah benar kerana menganggap maklumat tersebut sudah disahkan.

"Sebagai pemimpin, selidik lah dulu maklumat itu sama ada benar atau tidak sebelum sebarkan. Kita kena bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat supaya masyarakat perlu kekal harmoni. Mereka boleh rujuk laman web sebenarnya.my untuk dapatkan kepastian.

Iklan

"YB (yang berhormat) pun boleh hubungi saya kalau nakkan kepastian sesuatu berita atau maklumat, Saya memang alu-alukan. Sebelum ini pun ada orang awam, kawan-kawan yang tanya saya kalau ada maklumat meragukan," katanya kepada pemberita selepas ditemui melancarkan Jualan Rahmah Kasih Sayang anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Arena Rakyat Tualang Sekah, di sini pada Selasa.

Mohd Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, penyebaran berita tidak benar boleh mengundang berleluasanya kes penipuan dalam talian seperti dilaporkan sebelum ini.

Iklan

Menurutnya, antara mesej atau maklumat berantai yang sering diterima daripada orang ramai melibatkan kemas kini maklumat peribadi bagi bantuan sama ada kerajaan negeri atau kerajaan pusat.

Jelasnya, berdasarkan semakan yang dibuat, kebanyakan mesej disebarkan itu tidak benar dan disebabkan itu kerjasama dalam kalangan masyarakat serta pemimpin diperlukan bagi membendung penyebaran seperti itu.

Sebelum ini, ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahya mengemukakan permohonan maaf menerusi laman Facebooknya selepas membuat hantaran berupa poster tidak benar kononnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azlan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan syarikat kontraktor yang bertanggungjawab membina struktur menara telekomunikasi di negeri ini dalam usaha mengatasi isu kelewatan pembinaan kemudahan tersebut.

Menurutnya, terdapat beberapa menara telekomunikasi yang mengalami kelewatan disebabkan pelbagai faktor sehingga mengakibatkan usaha menambah baik liputan talian telekomunikasi di sesuatu kawasan terganggu.

"Kita telah turun padang mengadakan Jelajah Komunikasi di beberapa kawasan DUN (Dewam Undangan Negeri) bersama-sama agensi berkaitan. Hasil turut padang itu, kita dapati ada beberapa isu dan permasalahan seperti masalah liputan dan kelewatan pembinaan menara telekomunikasi.

"Perkara ini kita telah ambil maklum dan perbincangan lanjut akan diadakan bagi menyelesaikan isu berbangkit. Ini sekali gus diharap dapat meningkatkan lagi kadar capaian liputan dengan segera," katanya.