PASIR PUTEH - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengelaskan tiga kawasan tanaman padi di bawah seliaan agensi itu dalam usaha meningkatkan lagi pengeluaran hasil pada masa akan datang.
Pengerusinya, Muhamad Husin berkata, pengelasan itu melibatkan hasil tinggi, sederhana dan rendah.
"Tujuan kaedah ini diperkenalkan supaya kawasan yang memperoleh hasil rendah dapat diberikan tumpuan.
"Kebanyakan kawasan ini pengeluarannya bawah empat tan metrik sehektar," katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Agro Industri selain padi (ternakan unggas) di Pejabat KADA Selising pada Selasa.
Menurut beliau, bagaimanapun Ladang Merdeka KADA sudah mencapai pengeluaran hasil melebihi lima tan dan ke atas untuk satu hektar.
Ujarnya, agensi itu akan terus mengorak langkah dengan lebih agresif bagi memastikan pengeluaran hasil pada masa hadapan dapat ditingkatkan.
Muhamad memberitahu, masalah air turut mempengaruhi jumlah pengeluaran hasil padi KADA.
Tambah beliau, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat antara lokasi yang berdepan dengan masalah itu ketika ini.
"Insya-ALLAH bila Rumah Pam Kemubu 3 siap nanti, masalah air di ketiga-tiga lokasi itu akan dapat diselesaikan nanti.
"Kita yakin, jumlah hasil padi akan dapat ditingkatkan selepas ini," katanya.