VIENTIANE - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa Laos memanfaatkan kepakaran halal Malaysia untuk membolehkan negara itu memasuki pasaran pengguna Islam yang lebih besar.
Bercakap pada sidang media bersama Perdana Menteri Laos, Dr Sonexay Siphandone pada Selasa, Anwar berkata, dengan menceburi industri halal terutama makanan halal, Laos boleh mengembangkan eksportnya.
"Kita mempunyai kelebihan kecil dalam industri makanan halal yang saya fikir anda (Laos) perlu memanfaatkannya supaya dapat mengembangkan eksport ke negara Islam dan Timur Tengah," kata beliau semasa sidang media bersama di Pejabat Perdana Menteri Laos di sini.
Anwar tiba di Vientiane pada Isnin untuk lawatan rasmi dua hari ke Laos bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi dengan negara anggota ASEAN.
Lawatan sulung Anwar ke negara anggota ASEAN itu, selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov tahun lepas adalah atas undangan Siphandone.
Anwar juga berharap dapat memperluaskan kerjasama antara universiti Malaysia dan Laos dari segi latihan dan pertukaran kepakaran.
Semasa sidang media itu, Anwar turut menegaskan keperluan ASEAN memperkukuhkan lima perkara dalam konsensusnya, untuk menangani keadaan yang lebih tidak menentu dan cuba mencari penyelesaian secara damai kepada konflik yang telah lama wujud di Myanmar, yang turut menjejaskan kesejahteraan ekonomi dan keselamatan kedua-dua negara.
"Saya percaya kebijaksanaan perdana menteri (Laos) untuk memastikan kita kekal sebagai kuasa ASEAN yang sangat kuat dan bersatu," kata beliau sambil menambah bahawa Malaysia akan memberi sokongan penuh kepada Laos yang akan memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.
Sementara itu, Siphandone berkata, beliau gembira dengan lawatan Anwar ke Laos dan pertemuan dua hala antara mereka yang berlangsung kira-kira sejam diadakan dalam semangat persaudaraan.
Beliau berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk bekerjasama erat bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang demi kepentingan rakyat.
"Lawatan ini akan terus meningkatkan persefahaman dan mengeratkan persahabatan yang telah lama terjalin antara Laos dan Malaysia.
"Saya tetap komited untuk bekerjasama dengan Anwar melalui kerjasama dua hala dan pelbagai hala, serta di ASEAN, dengan matlamat untuk memajukan lagi manfaat untuk rakyat," katanya melalui penterjemah.
Siphandone berkata, perbincangannya dengan Anwar turut menyentuh isu lain di rantau ini terutamanya kesannya terhadap pembangunan sosioekonomi di negara anggota ASEAN. - Bernama