Isu pendaftaran sekolah agama persendirian dibawa ke MMKN

Iklan
Mohd Zawawi bertemu Gasis bagi membincangkan masalah kepayahan pendaftaran sekolah tersebut dengan PBT dan JAIS susulan proses pemutihan dilaksanakan kerajaan negeri membabitkan sekolah agama persendirian di Selangor.

SHAH ALAM - Isu sekolah agama persendirian yang berdepan masalah pendaftaran dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, permohonan lanjutan pendaftaran akan diusul selain penyediaan garis panduan bagi memudahkan proses pendaftaran berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri akan meneliti tempoh lanjutan diperlukan bagi membolehkan sekolah terlibat menyediakan dokumen diperlukan bagi proses pemutihan," katanya selepas sesi pertemuan bersama Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (Gasis) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Selasa.

Turut hadir, Penaung Gasis, Mohd Zai Mustafa dan Pengerusi Gasis, Dr Nik Azlinda Husein mewakili 171 sekolah yang menjadi ahli di bawah persatuan tersebut.

Iklan

Gasis sebelum ini membangkitkan isu pengurusan sekolah berdepan masalah pendaftaran dengan PBT dan JAIS selepas kerajaan negeri mengarahkan 12 PBT di Selangor memulakan proses pemutihan.

Kesukaran pemdaftaran itu telah menimbulkan kebimbangan pelajar sekolah berkenaan menghadapi masalah untuk menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Ujian Penilaian Selangor Rendah Agama (PSRA).

Iklan

Mohd Zawawi berkata, pertemuan diadakan itu berjalan lancar dan harmoni serta berharap 30,000 pelajar yang mengikuti pembelajaran di sekolah agama persendirian mendapat perkhidmatan pendidikan terbaik di Selangor.

"Sebelum ini kita telah wujudkan garis panduan sekolah tahfiz yang telah diluluskan MTES (Majlis Tindakan Ekonomi Selangor) dan MMKN, kini akan cuba wujudkan satu lagi garis panduan untuk SRA pula," katanya.

Sementara itu, Mohd Zai berkata, beliau berharap

isu dibangkitkan pada pertemuan itu dapat diteliti dengan baik bagi melancarkan pendidikan anak-anak di sekolah berkenaan.

"Perbincangan diadakan hari ini mencapai kesepakatan dan jaminan daripada exco melalui lanjutan pendaftaran sekolah membolehkan pelajar dapat menduduki UPKK dan PSRA.

"Pada masa sama, gabungan berharap garis panduan yang akan dicadangkan nanti dapat memudahkan urusan pendaftaran semua pihak demi pembangunan pendidikan Islam di Selangor yang baik dan subur," katanya.

Dalam pada itu, Nik Azlinda berkata, lanjutan pendaftaran itu melegakan pengurusan sekolah yang bimbang akan status peperiksaan pelajar.

Katanya, pihak sekolah turut berdepan masalah permohonan bantuan peruntukan pendidikan daripada pusat dan negeri susulan isu pendaftaran itu.

Ujarnya, isu dibawa itu sekali gus menangkis dakwaan sekolah agama persendirian Islam mementingkan keuntungan sebaliknya pengoperasiannya mengutamakan keperluan pendidikan pelajar.