KOTA TINGGI - Tiga sahabat maut selepas motosikal ditunggangi dipercayai bertembung sesama sendiri dalam kemalangan di KM62 Jalan Sungai Rengit berhampiran Kampung Seluyut, malam tadi.
Nahas kira-kira jam 9.25 malam itu menyebabkan mangsa Muhammad Saif Muqri Saipul Nizam, 16, Muhammad Adib Qayyum Ahmad Razali, 16, dan Mohd Daniel Haikal Mohd Hafiz, 16 maut di tempat kejadian.
Difahamkan Muhammad Saif menunggang motosikal jenis Honda Wave sendirian manakala dua rakannya membonceng motosikal jenis EX5.
Susulan kemalangan itu, Muhammad Saif disahkan meninggal dunia di dalam ambulans, Muhammad Adib Qayyum meninggal dunia di tempat kejadian sementara Mohd Daniel Haikal meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Dalam pada itu, bapa Muhammad Saif, Saipul Nizam Supardi, 43, berkata, dia sempat makan malam bersama anaknya sebelum dikhabarkan dengan berita yang menyedihkan itu.
"Saya terima berita ini daripada guru sekolah anak. Memang terkejut apabila dapat tahu kerana petang itu kami baru sahaja bersama-sama bersihkan rumah yang banjir lepas dilanda ribut.
"Maghrib saja dia keluar ke masjid untuk berjemaah, dia bersendirian naik motosikal. Lepas pulang dari masjid dia balik rumah dan kami sempat makan bersama.
"Bila Isyak, dia keluar semula untuk berjemaah dan selepas itu dia ke Felda Pasak untuk isi minyak motor. Tak sangka pula dia terlibat kemalangan," katanya.
Saipul Nizam berkata, anaknya baru sahaja berpindah sekolah dari Taman Saujana ke Felda Air Tawar 2 selepas dia sekeluarga menetap di Felda Air Tawar 3.
Katanya, Allahyarham seorang anak yang periang dan mudah didekati serta sangat ringan tulang.
"Kami tak nampak apa-apa perubahan pada diri arwah. cuma sejak dua tiga minggu kebelakangan ini dia amat rajin bersihkan kubur datuknya.
"Kami tak fikir apa tambahan pula Ramadan dah nak dekat... apa pun kami reda dengan pemergiannya," katanya lagi.
Terdahulu, Saipul Nizam dikunjungi ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari di kediamannya untuk menziarahi keluarganya, hari ini.