MUAR - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor kecewa dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mengumumkan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri akan datang.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan diambil parti itu membelakangkan rakan-rakan lain di dalam PH yang telah menjalin kerjasama pada PRN dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"PH Johor sentiasa memberi ruang kepada Muda untuk bersama-sama bertanding dalam PRN walaupun mereka menggunakan logo sendiri.
"Pada saya, Muda sepatutnya melihat kepada kesatuan lebih besar iaitu Kerajaan Perpaduan yang bekerjasama semua pihak," katanya selepas menghadiri Korban dan Akikah Bersama Econsave di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, Muda perlu menghormati keputusan dibuat dalam suasana yang memerlukan kesatuan lebih mantap.
Katanya, istilah tiada perbincangan tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana pihaknya sudah memberi peluang kepada Muda sebelum ini.
Muda pada Isnin menyatakan pendirian akan bertanding solo dalam pilihan raya di enam negeri yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Pendirian itu membuatkan Muda bakal bertembung dengan PH yang bekerjasama dengan BN serta Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).