KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan ramai kakitangan agensi kerajaan serta swasta yang melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), namun masih melakukan rasuah.
Azam berkata, program IBR bukanlah sekadar memenuhi majlis atau bersifat one-off kosmetik tetapi sebaliknya perlu dihayati dan dipatuhi.
"Ramai dah buat Ikrar Bebas Rasuah (IBR) tetapi langgar ikrar. Memang ada rekod kami, mereka dari agensi kerajaan atau swasta yang pernah melafazkan ikrar ini tetapi masih lagi berlaku rasuah di organisasi berkenaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Hari Integriti di sini, pada Selasa.
"Pertama dari segi penguatkuasaan undang-undang tegas, kedua pelaporan daripada ketua-ketua jabatan dengan tidak melindungi kakitangan mereka melakukan rasuah dan ketiga, tatakelola atau pun governance dalam jabatan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutamanya perlu diperkemaskan.
"Saya tekankan perkara ini kerana terdapat beberapa kes yang mana, janji-janji dalam IBR dimungkiri, walaupun sudah melafazkan IBR, individu terbabit ditangkap SPRM kerana melakukan rasuah," katanya.
Beliau berkata, perkara itu sesuatu yang memalukan.
"Ia seolah-olah IBR hanya ‘wayang’ untuk pertunjukan sahaja, janji untuk mencegah rasuah hanya di mulut, tidak sampai ke hati sanubari," katanya.
Azam juga mengingatkan bahawa integriti adalah satu elemen penting dalam pembinaan masyarakat yang boleh menyumbang kepada kejayaan sesebuah negara.
"Tanpa integriti segala usaha ke arah memajukan negara akan memberikan hasil yang mengecewakan," katanya.