GUA MUSANG - Pekebun getah daripada masyarakat Orang Asli di Pos Bihai dan Pos Belatim di sini berharap pihak kerajaan dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka dengan menaikkan harga komoditi itu.
Kira-kira 120 pekebun getah suku kaum Temiar yang mengusahakan ladang masyarakat di kawasan pedalaman di sini mendakwa faktor jarak dan tidak mempunyai kenderaan yang sesuai memaksa mereka menjual hasil getah pada harga yang rendah kepada orang tengah.
Penghulu Pos Belatim, Rosli Along berkata, penoreh getah terbabit terpaksa berpuas hati dengan harga rendah yang ditawarkan orang tengah kerana kekangan yang dihadapi.
"Getah dijual pada harga RM1.20 hingga RM2.40 sekilogram kepada orang tengah. Walaupun murah kami terpaksa bersetuju dengan harga yang dipinta kerana tiada pilihan lain.
"Hanya kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal sahaja yang boleh melalui jalan ke kampung ini. Jika ingin menjualnya sendiri kami terpaksa menyewa 4WD pada kadar RM500 sehari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Belatim, di sini, semalam.
Penduduk, John Asu, 50, pula berpendapat harga getah perlu dinaikkan untuk menjamin pendapatan masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman memandangkan pekerjaan menoreh menjadi sumber ekonomi utama mereka sejak 10 tahun lepas apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperkenalkan Program Ladang Masyarakat.
"Kami tinggal jauh di pedalaman nak keluar sendiri menjual hasil memang tidak mampu. Jadi saya menjual kepada pembeli berlesen pada harga RM2.40 sekilogram kerana jarak yang jauh dan hanya pembeli yang akan menanggung kos seperti minyak, kerosakan kenderaan dan sebagainya.
"Sekiranya pihak yang berkenaan dapat menaikkan sedikit harga getah, pembeli akan membeli dengan harga lebih mahal dan dapatlah meningkatkan pendapatan kami di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Roireng Ngah berkata, penduduk pernah membawa hasil getah ke bandar tanpa menggunakan khidmat orang tengah, namun ia memakan masa selain kos sewa kenderaan yang tinggi.
"Adakalanya kami 50 peserta ladang masyarakat ini kumpul hasil dan menyewa kenderaan lasak untuk menjual hasil getah namun terpaksa menunggu masa yang lama untuk mengumpulnya.
"Jadi bagi memastikan hasil getah yang diperoleh dapat dijual secara terus kami menjualnya kepada orang tengah. Kerana kami pun faham, mereka masuk dan bawa keluar hasil bukan mudah dengan keadaan jalan yang rosak dan berisiko,” katanya. - Bernama
TAG: getah, komoditi, Orang Asli, ladang masyarakat, Belatim, Pos Bihai