Lelaki OKU direman tujuh hari dipercayai bunuh bapa

Iklan
Laporan Sinar Harian.

BENTONG - Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan kes seorang warga emas berusia 64 tahun yang ditemui mati di sebuah flat di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, suspek tersebut adalah anak bongsu mangsa dan semakan awal mendapati suspek memiliki kad orang kurang upaya (OKU) lembam pembelajaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada Ahad lalu, kira-kira jam 11 pagi, pihak polis telah menerima satu laporan polis mengenai seorang lelaki warganegara tempatan berusia 64 tahun tahun ditemui terbaring di atas lantai di sebuah rumah flat di sini.

"Siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan termasuk kesan terbakar.

Iklan

"Mangsa telah ditinggalkan bersama anak bongsunya berusia 22 tahun di rumah tersebut," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan

"Kita memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Bentong di talian 09-2222222," tambah beliau.