Dianggap 'ancaman', Sivaraj isytihar keluar MIC

Iklan
Sivaraj

SHAH ALAM - Ahli Dewan Negara, Datuk C Sivaraj mengumumkan keluar dari parti MIC berkuat kuasa serta-merta.

Sivaraj turut memaklumkan peletakan jawatan sebagai Ketua MIC Cawangan Taman Bukit Kuchai Baru, Puchong, Selangor.

Iklan
Iklan

Katanya, keputusan itu dibuat bagi melaksanakan tanggungjawab dan tugas sebagai Ahli Dewan Negara dan pemimpin masyarakat India tanpa sekatan mana-mana pihak.

"Sejak menyertai MIC 20 tahun lepas, saya yakin telah menumpukan sepenuh perhatian dan memberi komitmen yang cukup tinggi terhadap perjuangan parti.

Iklan

"Saya telah menawarkan khidmat bakti sebaik mungkin kepada parti dan masyarakat atas kapasiti saya sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Naib Presiden, ahli Parlimen dan terkini Ahli Dewan Negara,” katanya menerusi surat peletakan jawatan yang dikongsi melalui hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden MIC mendakwa, parti tersebut menganggapnya sebagai 'ancaman' kepimpinan dan disekat dengan pelbagai cara daripada meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat serta negara.

Iklan

Tambahnya, jika perkara itu masih berterusan berkemungkinan besar mampu mendorong kepada perpecahan dalam kalangan ahli parti akibat perbezaan pandangan dan pendekatan.

Dalam pada itu, beliau berharap agar parti tersebut terus menjadi suara masyarakat India dalam arena politik negara.

"Hal ini cukup mendukacitakan saya secara peribadi, namun atas kesedaran dan keyakinan bahawa saya perlu teruskan tanggungjawab serta amanah yang diberikan.

"Semoga sumbangan,pengorbanan dan harapan pemimpin terdahulu kita seperti mendiang Tun Samy Vellu tidak disia-siakan begitu sahaja akibat kepentingan segelintir individu," katanya.

Sebelum ini, Sivaraj adalah calon Barisan Nasional (BN) mewakili MIC bagi Parlimen Padang Serai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).