BANGKOK - Calon utama untuk menjadi Perdana Menteri Thailand, Pita Limjaroenra pada Selasa memaklumkan beliau memperoleh sokongan mencukupi daripada Senat untuk mengambil alih jawatan tertinggi itu.
Pemimpin Parti Move Forward (MFP) tersebut membuat kenyataan itu ketika menjawab soalan diajukan wartawan selepas banyak pihak mula berteka-teki tentang laluan berliku yang dihadapi Pita sejak kemenangannya pada Pilihan Raya Umum pada bulan lalu.
Bagi merealisasikan impiannya untuk bergelar Perdana Menteri, beliau perlu meraih majoriti daripada dwidewan termasuk Senat yang dibarisi 250 anggota dilantik junta.
Parlimen baharu dijangka bersidang buat pertama kali selepas majlis angkat sumpah pada Isnin ini dan proses undian untuk melantik Perdana Menteri dijadualkan pada pertengahan bulan depan.
Sementara itu, pasukan keselamatan dilaporkan sudah membincangkan langkah keselamatan yang akan dilaksanakan jika keganasan tercetus seandainya Pita tidak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-30 Thailand.
Langkah kesiapsiagaan itu dibuat selepas tentera dan polis bimbang penyokong MFP bersama parti gabungan utamanya, Pheu Thai akan melancarkan protes ganas kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang tidak berpihak kepada pemimpin pilihan mereka.
Sebelum ini, beberapa senator berkeras enggan mengundi Pita kerana mendakwa parti pimpinannya menentang Perkara 112 (Undang-undang Lese Majeste).
Sumber maklumat diperoleh pasukan keselamatan mendapati penyokong MFP dan Pheu Thai merancang untuk berarak menjelang proses undian untuk melantik Perdana Menteri sebagai cubaan memberi tekanan kepada senator. - AFP