SHAH ALAM - Anak-anak muda perlu diterapkan dengan nilai-nilai kemahiran berfikir sebelum menguasai bidang pengekodan dan robotik.
Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia, Ts Dr Luthffi Idzhar Ismail menjelaskan menerusi kemahiran berfikir tersebut akan melahirkan inovasi dan kreativiti sekali gus mereka mempunyai pengetahuan yang mencukupi.
"Itu memudahkan mereka untuk sambung belajar dan itu ia adalah perkara asas. Selari dengan kepesatan teknologi dan dunia yang sangat canggih ini, bukan sekadar lahirkan golongan mahir pengekodan dan robotik selain bukan hardware dan software sahaja.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar yang bertajuk 'Generasi Felda Inovatif: Coding & Robotik' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa
Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Pengarah Pembangunan Komuniti dan Generasi, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Nik Hasrul Mohd Zainuddin dan Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris.
Mengulas lanjut, Luthffi Idzhar berkata, dalam usaha melahirkan generasi maju dan kehadapan maka kemahiran berfikir itu tidak boleh diketepikan.
"Jadi semasa saya memgambil Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dahulu dan ada satu silibus di sana (luar negara), ia 'teach robot without a robot' dan 'teach computer without computer'.
"Jadi macam mana kita lakukannya? Kita boleh manfaatkan pengekodan dan robotik ini untuk latih anak-anak muda berfikir lebih dengan kemahiran berfikir yang asas," jelasnya.
Justeru, beliau menyokong usaha dilakukan Felda yang melancarkan Digital Maker Hub (FDMH) kepada pelajar terutama dalam usaha menekankan pentingnya IR4.0 atau Revolusi Industri Keempat.
"Ia sesuatu yang hebat kerana dapat memanfaatkan komuniti dan masyarakat di Malaysia," ujarnya.