DUN Kedah secara rasmi bubar hari ini

Iklan
DUN Kedah bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini selaras dengan perkenan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, pada Ahad lepas.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad.

Iklan
Iklan

Pembubaran DUN Kedah dilakukan enam hari lebih awal berbanding tempoh mandat lima tahun yang sepatutnya berakhir pada 4 Julai ini.

Ia sekali gus menyaksikan bermula hari ini Kedah ditadbir kerajaan negeri sementara (interim) sehingga pembentukan kerajaan baharu selepas PRN nanti.

Iklan

Pembubaran itu juga menamatkan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) pada 17 Mei 2020.

Mandat selepas tiga tahun diserahkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu yang dijangka diadakan pada awal Ogos.

Iklan

Kedah mempunyai 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan perebutan antara PN dengan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 menyaksikan PH mengambil alih kerajaan negeri daripada BN dengan kemenangan 18 daripada 36 kerusi, seterusnya diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Namun pemerintahan Mukhriz hanya bertahan sehingga 12 Mei 2020 disebabkan berlaku peralihan kerajaan.

Perubahan pentadbiran kerajaan Kedah itu berkait rapat dengan kemelut politik ketika itu yang menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada gabungan PH, disusuli dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Mukhriz kemudian mengumumkan pembentukan kerajaan campuran antara PH dan Bersatu di Kedah dan menjadi satu-satunya negeri diketuai Menteri Besar Bersatu.

Namun Pas Kedah akhirnya mengambil alih pentadbiran negeri yang dipimpin Mukhriz apabila dua ADUN Kedah daripada PKR mengisytiharkan keluar parti dan menjadi ADUN bebas dengan menyatakan sokongan kepada PN.

Komposisi terkini DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi, dengan Pas sebanyak 14 kerusi dan Bersatu enam kerusi.

PH memiliki 10 kerusi yang menggabungkan PKR sebanyak lima kerusi, Amanah dengan tiga kerusi dan DAP (dua). Manakala BN dan Pejuang masing-masing beroleh dua kerusi.

Dua kerusi kosong, iaitu Gurun berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul melepaskan jawatannya, sementara DUN Belantek kosong disebabkan kematian ADUN, Datuk Mohd Isa Shafie pada 14 Jun lepas.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah mengingatkan semua parti politik mengamalkan sepenuhnya amalan demokrasi sepanjang tempoh kempen PRN.

"Saya harap proses demokrasi berjalan dengan betul. Jangan guna harta atau dana kerajaan untuk kempen.

"Jangan guna agensi atau jabatan kerajaan ketika turun berkempen,” katanya.

Menurutnya, setiap parti politik hendaklah bersaing secara sihat dengan kekuatan dan kapasiti parti masing-masing.

"Bertandinglah secara anak jantan. Jangan cakap lain, buat lain,” katanya.

Sementara Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar juga berharap PRN kali ini tidak lagi dimomokkan dengan propaganda tidak sihat seperti yang berlaku pada PRU15 lalu.

"Saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis pantau corak kempen PRN yang perlu dielak selain isu 3R, iaitu agama (Religion), raja (Royalty) dan kaum (Race).

"Kenyataan berbaur sensitiviti masyarakat serta adu domba keterlaluan yang boleh jejaskan keharmonian agama dan kaum juga perlu diberi perhatian.

"Elemen tersebut berlaku dalam PRU15 dan harus dijadikan pengajaran kepada semua untuk ambil langkah pencegahan awal. Jabatan Agama Islam juga perlu pantau khutbah dalam masjid elak adanya elemen politik oleh khatib jemputan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, semua parti dan calon yang bertanding dinasihatkan lebih berhemah dan bersaing secara sihat dengan tidak berkempen keterlaluan sehingga menjejaskan keharmonian.

"Kempen secara sihat, elakkan fitnah atau mempergunakan isu keagamaan sebagai modal politik, pemikiran sempit seperti itu harus dielakkan,” katanya.