NILAI ringgit terus meningkat dan dibuka tinggi pagi Rabu di tengah-tengah perkembangan positif dalam pasaran pertukaran asing Asia.
Selera risiko bertambah baik selepas bank-bank pusat Malaysia dan China bergerak untuk menghentikan kemerosotan mata wang masing-masing, kata peniaga.
Pada jam 9 pagi, unit tempatan menambah nilai kepada 4.6570/6625 berbanding dolar AS daripada 4.6640/6685 pada penutup Selasa.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, People's Bank of China (PBOC) telah menetapkan yuan lebih tinggi berbanding jangkaan dan ini telah memberi kesan kepada mata wang AS.
Perbincangan mengenai PBOC menjual dolar AS di pasaran terbuka untuk menyokong yuan China turut membantu menstabilkan ringgit, katanya.
Sementara itu, peniaga ActivTrades Dyogenes, Rodrigues Diniz berkata, dolar AS susut sebanyak 0.17 peratus berbanding ringgit semalam dan pergerakan menurun itu datang sebagai reaksi semula jadi selepas bergerak naik secara meluas sejak 14 April.
"Dari sudut teknikal, dolar AS berada dalam zon terlebih beli berbanding ringgit, dengan bacaan 73.12 pada penunjuk Indeks Kekuatan Relatif (RSI). Bacaan melepasi 70 cenderung menunjukkan kelesuan kuasa beli.
"Memandangkan harga berjaya menembusi bawah paras rendah semalam, besar kemungkinan dolar AS akan turun ke paras 4.6000 dan 4.5250 dalam beberapa hari,” tambahnya.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro pada 5.1013/1073 daripada 5.1043/1092 semalam (Selasa) dan meningkat berbanding yen Jepun menjadi 3.2367/2408 daripada 3.2425/2458 tetapi turun berbanding pound Britain kepada 5.9344/9414 daripada 5.9326/9383 sebelumnya.
Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang Asean yang lain.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4512/4558 berbanding 3.4553/4592 pada penutup Selasa dan lebih tinggi berbanding baht Thai pada 13.1777/1989 daripada 13.2155/2342 semalam.
Ringgit menambah nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 310.5/311.1 daripada 311.0/311.5 tetapi lemah menjadi 8.45/8.46 berbanding peso Filipina pada 8.43/8.44 semalam. - Bernama