TROY, NEW YORK - Bekas yang menyimpan kultur sel dan spesimen yang telah melalui kajian dan penyelidikan selama 20 tahun musnah apabila seorang tukang cuci mematikan bekalan kuasa peti sejuk beku makmal Rensselaer Polytechnic Institute (RPI), di sini.
Susulan itu, universiti tersebut memfailkan tuntutan bernilai AS$1 juta (RM4.6 juta) daripada agensi yang membekalkan pekerja pembersihan itu, Daigle Cleaning Systems.
RPI mendakwa, salah seorang pekerja syarikat itu mematikan pemutus litar peti sejuk beku, yang perlu mengekalkan spesimen pada suhu minus 80 darjah Celsius, menurut saman yang difailkan bulan ini.
Bekas penyejuk itu digunakan oleh penyelidik yang mengkaji bagaimana tumbuhan menggunakan fotosintesis untuk mencipta tenaga.
Pada pintu peti sejuk beku itu telah ditampal notis yang bertulis:"PETI SEJUK BEKU INI SEDANG DALAM PEMBAIKAN. JANGAN SESEKALI MENGALIHKANNYA ATAU MEMATIKAN BEKALAN” sebelum tukang cuci berkenaan memasuki makmal itu pada 17 September 2020.
Pekerja pembersiha itu juga terdengar bunyi alat penggera pada malam berkenaan dan cuba membantu dengan memasang semula pemutus litar.
Bagaimanapun, keadaan sebaliknya yang berlaku apabila dia sebetulnya memindahkan pemutus litar itu dari kedudukan"on" ke kedudukan"off".
Penyelidik siswazah mendapati bekas penyejuk itu dimatikan keesokan harinya dan cuba mengurangkan kerosakan, tetapi"kebanyakan spesimen telah terjejas, musnah dan tidak dapat diselamatkan" sekali gus membinasakan penyelidikan yang sudah dilakukan lebih 20 tahun, menurut saman tersebut. - Awani