Rayuan SPRM guna akta sendiri reman suspek didengar 20 Julai

Iklan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 20 Julai untuk mendengar rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang melarang SPRM menggunakan Kanun Tatacara Jenayah (CPC) untuk mereman suspek bagi tujuan siasatan.

Pesuruhjaya Kehakiman Temerloh, Roslan Mat Nor dalam penghakimannya memutuskan SPRM mesti bergantung kepada aktanya sendiri dan tidak menggunakan CPC untuk mereman suspek dalam siasatannya.

Iklan
Iklan

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu ketika dihubungi Bernama.

Geethan Ram mewakili tiga daripada enam anggota polis yang SPRM memohon reman kerana didakwa meminta dan menerima rasuah RM5,000.

Iklan

Bagi tiga lagi anggota polis, peguam Revin Kumar Shasai Kumar, Lavanyia Raja dan Eu Kah Mun telah dilantik secara individu untuk mewakili mereka.

Tarikh itu ditetapkan selepas pengurusan kes rayuan itu didengar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli pada Isnin.

Iklan

Hadir mewakili SPRM pada pengurusan kes itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhisham Mohd Jaafar.

Dalam penghakiman penting itu, Roslan menyatakan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 memberikan suruhanjaya itu kuasa khusus yang perlu digunakan semasa menjalankan siasatan.

Beliau berkata, pegawai SPRM boleh membuat tangkapan mengikut Seksyen 49(2) Akta SPRM dan boleh memohon perintah reman di bawah Seksyen 49(3) akta sama.

Roslan dalam menjalankan kuasa semakannya telah mengetepikan perintah reman yang dikeluarkan terhadap enam anggota polis itu termasuk seorang inspektor di bawah Seksyen 117 CPC. - Bernama