Wanita Orang Asli hamil diterbangkan ke hospital

Iklan
- Foto Bernama

GUA MUSANG - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa keluar seorang wanita Orang Asli yang hamil dari Pos Belatim ke hospital, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, wanita yang hamil tidak cukup bulan, namun dikhuatiri akan bersalin awal itu dibawa menaiki pesawat jenis Agusta Westland (AW189) bersama seorang pengiring.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dua petugas kesihatan turut dibawa bersama menaiki penerbangan itu.

"Kru Bomba AW189 ditugaskan mengambil Norsiah Uda, 21, yang mengalami kontraksi bersalin sejak seminggu lepas ditemani Jenrai Rosli, 21, untuk dibawa keluar bersalin di Hospital Gua Musang.

Iklan

"Anak kapal berlepas dari Subang pada 10 pagi dan tiba di Pos Belatim pada 11.04 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Mohd Hasrizal, proses membawa pesakit memakan masa selama lapan minit dan anak kapal berlepas ke Gua Musang pada jam 11.12 pagi dari pos tersebut.

Iklan

"Terdahulu, kedua-dua petugas daripada Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih awal berada di penempatan tersebut bagi rutin pemeriksaan kesihatan berkala di kawasan pedalaman,” katanya.

Mohd Hasrizal berkata, lima anak kapal yang diketuai beliau sendiri tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada jam 11.30 pagi dan pesakit kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Gua Musang.

"Cuaca sepanjang penerbangan adalah berawan rendah, anak kapal berlepas pulang dari Gua Musang pada jam 11.35 pagi dan selamat mendarat di Subang pada 12.50 tengah hari,” katanya. - Bernama