Guan Eng kebudak-budakan - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai kebudak-budakan selepas mendakwa Sanusi menggalakkan 'keganasan' dengan menyamakan usaha menawan Pulau Pinang seperti penaklukan Constantinople.

Muhammad Sanusi berkata, perangai terbabit adalah satu penyakit di peringkat pimpinan DAP kerana setiap tindakan orang lain dianggap tidak betul, mengancam dan berbahaya untuk negara.

Iklan
Iklan

"Lawak Guan Eng ini, macam budak-budak, yang orang lain buat semua mengancam dia, bercakap pun mengancam, saya ingat selepas ini saya makan, dia cakap itu hendak bagi sihat hendak lawan dia," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan kenderaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, ucapannya tentang Constantinople itu berunsur metafora namun disalah tafsir oleh Guan Eng.

Iklan

"Metafora ialah kiasan, yang dikiaskan itu sangat berbeza, itu satu seni dalam pengucapan, dan orang ini (Guan Eng) tidak reti bahasa Melayu, duduk Malaysia berapa puluh tahun, Melayu pun telo (tidak boleh bertutur dengan baik) lagi, bukan sahaja tidak pandai, faham pun tidak pandai, saya rasa dia kena perbetulkan banyak sebelum bercakap tidak benar pasal orang lain," katanya.

Pada masa yang sama, Muhammad Sanusi berkata, kiasan atau metafora yang digunakan itu adalah sama ketika Pengerusi DAP itu didakwa menyamakan pentadbiran DAP Pulau Pinang dengan Khalifah Umar Abdul Aziz sebelum ini.

Iklan

"Ingat lagi dia metafora dirinya sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz, tidak salah pula, Khalifah Umar Abdul Aziz itu cucu Saidina Umar, yang terkenal khalifah ketiga, dan paling garang sekali, kenapa dia boleh ambil metafora Umar Abdul Aziz, dia bukan Islam, Khalifah Umar itu Islam,

"Tetapi tidak ada orang marah, ada Melayu tidak tahwan (tidak waras akal fikiran) waktu itu pergi sokong pula, seronok DAP jadi Khalifah Umar Abdul Aziz, last sekali jadi apa, skandal terowong, beli banglo, khalifah Umar apa lagu (seperti) itu," katanya.

Pada Selasa sebuah portal melaporkan Guan Eng mendakwa Sanusi menggalakkan 'keganasan' dengan menyamakan usaha menawan Pulau Pinang dengan penaklukan Constantinople oleh umat Islam hampir 600 tahun lalu.

Beliau turut menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat Sanusi juga berbahaya kepada Perlembagaan Persekutuan, keamanan dan juga perpaduan negara.