Tun M tempelak UMNO anjur Kongres Ekonomi Melayu

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad. -.Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

SEPANG - Tun Dr Mahathir Mohamad menempelak tindakan UMNO yang mahu mengadakan Kongres Ekonomi Melayu ketika pihaknya berusaha menjayakan gerakan Proklamasi Orang Melayu (POM).

Bekas Perdana Menteri itu secara sinis berkata, walaupun hasrat dan tindakan parti berkenaan dilihat mahu memperkasakan Melayu, namun duit dan sogokan untuk mendapatkan sokongan pengundi masih menjadi keutamaan.

Iklan
Iklan

"Banyak yang curi duit, mereka guna duit untuk dapat sokongan. Sebab itu dalam pilihan raya mereka perlukan duit yang banyak (untuk) beli bendera, buat sepanduk dan sebagainya serta nak sogok pengundi.

"Sebab itu kalau mereka berjaya tarik sokongan orang Melayu dan jadi kerajaan sekali lagi, duit kita akan hilang,” katanya pada sidang akhbar khas pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan Pemuda dan Puteri UMNO akan lebih bermakna berbanding POM yang diterajui Mahathir.

Ahmad Zahid berkata, ini kerana Mahathir sudah diberi peluang sebelum ini, namun tidak memanfaatkan sepenuhnya untuk membina ekonomi Melayu malah mengeluh dengan situasi kaum itu apabila tidak lagi menerajui negara.

Iklan

Kongres Ekonomi Melayu merupakan antara tujuh agenda yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 untuk dilaksanakan parti berkenaan.