SHAH ALAM - Rondaan bermotosikal dan kehadiran anggota trafik bertugas antara tindakan dijalankan Polis Diraja Malaysia(PDRM) bagi melancarkan aliran trafik di kawasan yang berlaku kesesakan bermula Selasa dan dijangka sehingga Ahad ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, kawasan yang berlaku kesesakan melibatkan sebelah Pantai Timur dan utara semenanjung.
"Elemen rondaan bermotosikal dan kehadiran anggota trafik (omnipresent) akan dipertingkatkan bagi menyuraikan aliran trafik dan mengatasi kesesakan bagi melancarkan perjalanan pengguna jalan raya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, pihaknya juga turut melaksanakan Ops Lancar yang telah dijalankan pada Selasa melibatkan kekuatan 4,700 pegawai dan anggota JSPT.
"Ops Lancar ini dilaksanakan bermula 27 Jun sehingga 2 Julai ini yang melibatkan 3,852 anggota dan 848 pegawai kanan.
"Tumpuan utama Ops Lancar ini juga adalah untuk mengurangkan kemalangan terutama pada musim kemuncak sekali gus akan melancarkan aliran trafik," katanya.
Menurutnya, sebanyak 76 lokasi titik panas dikenal pasti berlakunya kekerapan kemalangan antara Januari sehingga Mei 2023.
"Antara faktor yang menjadi penyumbang kepada berlakunya kemalangan melibatkan 76 lokasi ini disebabkan kesalahan antaranya memandu melebihi had laju, tidak patuh lampu isyarat merah, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan pelbagai kesalahan utama lain.
"Penguatkuasaan dan kekerapan pemantauan di lokasi berkaitan sekali gus memberikan tumpuan dalam usaha memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan," jelasnya.
Dalam pada itu, Mat Kasim berkata, pengguna perlu sentiasa menitik berat aspek keselamatan dalam usaha mengelak berlakunya kemalangan.
"Sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan demi keselamatan diri, keluarga serta pengguna lain.
"Selain itu, aspek emosi turut sama perlu diberi perhatian, sentiasa rancang perjalanan dan berhemah di jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Tambahnya, kenderaan yang dipandu juga perlu dipastikan berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan.