REMBAU -"Saya reda mama pergi, sebab tahu dia nak 'rehat'," kata Muhammad Aiman Syazwan Mohd Fouzi, 12, anak sulung kepada Nur Amira Sahran, 33, yang maut kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja 25 April lalu.
Jawapan anak kecil ini ketika ditanya Sinar Harian membuatkan suasana di rumah ibu saudaranya Nor Azila Sahran, 38, di Kampung Legong Ulu di sini, menjadi sayu.
Ternyata dia begitu memahami keperitan dan kesusahan ibunya selama ini membesarkannya bersama lima lagi adiknya iaitu Nor Aina Syazwani, 10; Nor Aina Syazlina,9; Nor Aina Syazlin, 7; Nor Aina Syazliyana, 5 dan Muhammad Aiman Syazrizal 18 bulan.
Menurutnya, sebagai anak sulung dia sedih melihat ibunya bekerja mencari rezeki menyara keluarga.
"Saya tahu mama susah cari duit kerana nampak dia selalu penat. Tapi, saya ada bantu sikit-sikit buat nasi lemak dan burger hantar rumah jiran.
"Dah besar nanti, saya akan jaga adik-adik kerana itu yang mama selalu pesan," katanya.
Kisah keluarga ini menjadi tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp yang menceritakan bagaimana suami Allahyarham yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah datang ke masjid untuk melihat jenazahnya buat kali terakhir.
Hantaran WhatsApp itu dipercayai ditulis oleh majikan Allahyarham yang tidak pernah tahu pekerjanya menyara keluarga seorang diri.
Sementara itu Nor Azila berkata, walau macam mana susah sekalipun dia akan tetap menjaga kesemua anak Allahyarham sampai bila-bila.
"Saya akan tetap jaga mereka sehingga hujung nyawa saya walaupun bulan Jun ini bapa mereka akan dibebaskan dari penjara.
"Tapi saya tak sangka kerana ramai yang datang membantu selepas kisah arwah jadi tular. Ada yang saya tak kenal pun datang hulurkan sumbangan untuk anak arwah. Terima kasih sangat-sangat," katanya.
Menceritakan kejadian itu, Nor Azila berkata, motosikal ditunggang Allahyarham dipercayai telah melanggar babi hutan menyebabkannya tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Masa tu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas kerja. Saya tahu dia gigih menyara anak-anak. Tapi tak sekali pun dia ceritakan kesusahannya.
"Sebagai kakak saya redha jika ini sudah tertulis dan mendoakan adik saya ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.
Menurutnya, kesemua anak Allahyarham berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan tanda kemurungan melainkan salah seorang daripadanya yang mengharapkan dapat bertemu emaknya dalam mimpi.
Sementara itu Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa keluarga itu dan akan berusaha memberi bantuan.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) telah pun turun padang menyantuni anak-anak ini. Kita telah dimaklumkan kakak arwah bersedia memikul tanggungjawab menjaga mereka.
"Kita juga telah maklum kepada Baitulmal dan Jabatan Pendidikan untuk dipertimbangkan bentuk bantuan lain bersesuaian," katanya.