Sokongan anak muda beralih kepada PN

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat sokongan anak muda sebaliknya sokongan golongan itu kini telah beralih kepada PN.

Menurutnya, oleh sebab itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke universiti untuk menarik orang muda menyokong PH.

Iklan
Iklan

"Kalau orang muda banyak dalam PH, hendak tarik buat apa lagi, sebab itu dia pulun sampai tidak buat kerja Menteri Kewangan, tidak buat kerja PM, pergi duduk bersyarah merata," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan kenderaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan keadaan ekonomi negara tidak menentu kerana Anwar tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Iklan

"Situasi itu sebabkan berselarak negara ini, matawang menjunam, pelabur tidak masuk, semua itu kegagalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, selepas itu salahkan orang lain, orang lain semua tidak betul," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Sanusi menyatakan bahawa tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang membuktikan kerjasama parti itu dengan PH berkecamuk sejak sekian lama.

Iklan

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa tidak mahu mengambil tahu atau masuk campur berhubung urusan dan masalah yang dihadapi parti-parti lawan.

Pada Isnin, MUDA memutuskan untuk bergerak secara solo pada PRN di enam negeri yang akan diadakan nanti.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk penyokong parti itu.