Kerajaan mahu gaji rakyat naik setimpal kos sara hidup - Rafizi

Iklan
Rafizi Ramli

PUTRAJAYA - Kerajaan akan berusaha untuk memastikan gaji dan pendapatan rakyat naik secara berkala, setimpal dengan kenaikan kos sara hidup.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, fokus kerajaan sekarang ialah membangunkan kerangka Dasar Gaji Progresif bersama-sama Kementerian Sumber Manusia untuk pertumbuhan gaji yang lebih sekata dan inklusif.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia seterusnya mendorong kepada gaji dan pendapatan yang lebih baik kepada semua pekerja terutamanya golongan muda.

"Di mata rakyat, setiap kali kita bicara kos sara hidup, ia berkisar macam mana kerajaan nak beri subsidi, nak turunkan harga, tapi sebenarnya ada aspek penting yang lain.

Iklan

"Kalau pun kerajaan tumpu 100 peratus soal harga barang tapi tidak berusaha melalui dasar untuk menaikkan gaji rakyat secara setimpal, maka masyarakat kita akan terus bergelumang dengan masalah kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) Mei 2023 di Putrajaya pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, kertas dasar mengenai Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam bulan Ogos 2023 untuk mendapat panduan dari kepimpinan negara.

"Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara mana-mana pentadbiran mengusahakan satu kerangka dasar khusus mengenai pertumbuhan gaji yang sekata dan inklusif kepada semua pekerja.

"Fokus kepada pertumbuhan gaji juga akan menjadi tema utama perancangan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia yang akan datang," ujarnya.

Beliau juga menegaskan kerajaan tidak mahu isu kos sara hidup rakyat ditangani secara sedikit-sedikit sebaliknya beliau mahu ia dilakukan secara bersepadu, tidak melihat kepada satu atau dua aspek sahaja. - Awani