KUCHING - Seorang warga emas kerugian RM231,792 gara-gara terpedaya dengan ramalan tiga individu yang mengaku sebagai tukang tilik nasib.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, insiden tersebut berlaku pada Jumaat, 23 Jun lalu dan pihaknya menerima aduan daripada wanita berusia 65 tahun itu pada Selasa, 27 Jun.
"Mangsa didatangi sekumpulan tukang tilik semasa berniaga di gerai jualannya di Pasar Sentral, Sibu.
"Dia kemudian diberitahu perlu disembahyangkan bagi membuang nasib malang yang bakal menimpa dirinya dan perlu membayar sejumlah wang bagi melengkapkan ritual sembahyang tersebut.
"Warga emas yang ketakutan itu kemudian mengeluarkan RM231,792 dan menyimpan wang tersebut ke dalam beg sebelum menyerahkan beg kepada tukang tilik untuk disembahyangkan," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Mangsa, menurut Azman lagi, turut dinasihatkan untuk membuka beg tersebut sebulan selepas ritual sembahyang dijalankan.
Sekembali di rumah dan selepas beberapa hari berasa sangsi akan ritual tersebut, wanita itu kemudiannya membuka beg tersebut dan mendapati wang yang dimasukkan ke dalam beg telah lesap.
"Ketika itulah mangsa sedar bahawa dia telah menjadi mangsa penipuan,” kata Azman lagi.
Terdahulu, seorang warga emas berusia 80 tahun di Miri turut tertipu oleh sekumpulan tukang tilik yang mendakwa dapat membuang nasib malang mangsa.
Mangsa telah kerugian RM30,000.
Polis Sarawak tidak menolak kemungkinan pelaku adalah daripada sindiket yang sama.
Susulan kejadian tersebut, Polis Sibu giat memburu suspek.
Azman sekali lagi menasihatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan ramalan tukang tilik nasib yang boleh membawa kemudaratan serta kerugian kepada mereka sendiri. - AWANI