KOTA KINABALU - Kerjasama erat dan usaha gigih semua pihak berjaya menghasilkan keputusan yang amat bermakna buat rakyat Sabah dalam menangkis tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia.
Pemimpin Sabah melihat keputusan Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda yang menolak permohonan kumpulan Sulu sebagai titik tolak yang penting dalam perjuangan menoktahkan sebarang tuntutan mereka.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Kurup berkata, keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa tuntutan kumpulan Sulu adalah tidak berasas serta berniat jahat terhadap Sabah dan Malaysia.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, tiada negara berdaulat yang harus terperangkap dengan penyalahgunaan institusi atau proses timbang tara sebagaimana dilakukan oleh lapan individu dalam kumpulan Sulu di beberapa negara Eropah.
"Kesungguhan kerajaan terutama melalui Sekretariat Khas Sulu perlu diberi sokongan oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik kerana ini melibatkan kedaulatan negara,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di Belanda.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata, pencapaian itu penting dalam usaha memastikan tiada lagi tuntutan daripada mana-mana pihak melibatkan isu tersebut yang dilayan oleh mana-mana mahkamah atau kerajaan sama ada di Eropah atau negara lain.
"Tuntutan yang dibuat oleh kumpulan kononnya waris Kesultanan Sulu ini telah menghantui rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan perkembangan terbaru ini bukan sahaja membawa rasa lega tetapi juga menekankan bahawa tuntutan mereka adalah tidak berasas,” katanya.
Ahli Parlimen Semporna itu juga berkata, Warisan berikrar untuk melawan sebarang cubaan mencabul kedaulatan negara selain menyokong penuh usaha yang melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Sabah serta Malaysia.
Bagi Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee, kejayaan Malaysia menumpaskan tuntutan kumpulan Sulu itu telah merugikan mereka serta pihak yang menyokong tindakan tersebut terutama daripada segi kewangan.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, bagi menamatkan serta memastikan tiada lagi pihak, kumpulan Sulu atau rakyat Filipina membuat tuntutan ke atas Sabah, kerajaan Malaysia wajar melakukan perbincangan lanjut dengan negara berkenaan untuk menubuhkan sebuah konsulat di Negeri Di Bawah Bayu.
"Dengan menubuhkan sebuah konsulat di Sabah, Filipina akan memberitahu rakyatnya supaya melupakan tuntutan khayalan mereka terhadap Sabah. Sabah tidak pernah dimiliki atau diperintah oleh Sulu atau Filipina pada bila-bila masa dalam sejarah,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kemenangan itu membuktikan bahawa kerajaan berjaya mempertahan hak, harta serta kedaulatan negara selain membuktikan tuntutan tersebut adalah tidak berasas, gagal dan tidak boleh dilayan.
"Kemenangan Malaysia boleh menjadi pengakhir kepada usaha pihak tidak bertanggungjawab yang cuba merompak dan menggugat kedulatan negara. Kemenangan ini lebih dirasai rakyat Sabah yang dihantui dengan tuntutan ini sehingga ada pihak mendakwa kes ini dipolitikkan dan panas apabila pilihan raya," katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Nelson W Angang pula berkata, kemenangan itu adalah satu pengalaman yang mahal untuk Malaysia bagi mengukuhkan usaha mempertahan kedaulatan negara. - Bernama