Aidiladha: Polis beri amaran jangan jual, main bunga api

Iklan
Gambar hiasan

ALOR SETAR - Polis Kedah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menjual, membeli atau bermain bunga api sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, ini termasuk penjualan dan pembelian secara dalam talian juga tidak dibenarkan sama sekali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua pihak wajar mematuhi larangan tersebut untuk mengelakkan berlakunya sebarang kecederaan, kematian atau kebakaran yang boleh memusnahkan harta benda.

"Individu yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain bunga api tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 atau bawah Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Rabu.

Iklan

Fisol turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan selain peka dengan informasi aliran trafik semasa pulang berhari raya.

"Laksanakan peranan anda sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau parkir kenderaan sehingga menghalang laluan,” ujarnya.

Iklan

Menurutnya lagi, aspek keselamatan rumah yang ditinggalkan ketika pulang ke kampung juga harus diberikan perhatian.

"Mereka yang meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung halaman, pastikan rumah berkunci dan maklumkan kepada balai polis berdekatan untuk rondaan keselamatan.

"Semoga sambutan Hari Raya Aidiladha dapat diraikan dalam suasana aman dan sejahtera,” katanya.