SHAH ALAM - Kanak-kanak yang mengidap penyakit ketumbuhan otak agresif tahap empat, Glioblastoma Multiforme (GBM), Luth atau nama sebenarnya Mas Muhammad Luth Muhammad Aliff dilapor meninggal dunia pada Rabu.
Perkara berkenaan disahkan menerusi laman Instagram, luthfighterboy, memaklumkan kanak-kanak berusia empat tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor.
"Dengan nama Allah yang Maha Mengasihani lagi Maha Penyayang, dukacita kami ingin maklumkan bahawa Mas Muhammad Luth Muhammad Aliff sudah kembali ke rahmatullah jam 12.14 tengah hari.
"Kami sekeluarga menerima takdir ini dengan reda dan mohon semua mendoakan roh Allahyarham Luth ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dikasihi Allah SWT. Mommy (ibu) akan sentiasa bersama Luth sayang,” menurut kapsyen dalam hantaran di media sosial berkenaan.
Menerusi muat naik Instagram Story @luthfighterboy memaklumkan, jenazah dimandi dan disolatkan di Masjid Puncak Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam di Kuala Selangor selepas solat Asar.
Sebelum ini media melaporkan, Luth didiagnosis penyakit jarang jumpa itu pada 31 Januari lalu dan sudah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan.
Bagaimanapun ibunya, Mas Hazirah Saifuddin, 33, berkata, ketumbuhan itu dikesan masih aktif dan agresif sehingga menganggu kesihatannya sebelum dimasukkan ke hospital dan ditidurkan sementara pada 17 Jun lalu.
Sebelum itu, penderitaan Luth menarik perhatian rakyat Malaysia yang bersimpati yang memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM6 juta untuk mendapat rawatan di luar negara.